Berjaya lolos ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke 34, penyanyi Aina Abdul, 27 baru-baru ini telah memilih Ernie Zakrie sebagai pesaing terdekatnya. Betul ke?

Mempertaruhkan lagu “Sumpah” hasil ciptaannya sendiri, Aina yang ditemui ketika sidang media AJL-34 semalam berkata, dia banyak melihat dan belajar daripada video Ernie menyanyi dan telah menganggap Ernie seperti gurunya sendiri.

“Bercakap tentang pesaing terdekat, setiap kali saya tengok video kak Ernie menyanyi, saya belajar dan anggap beliau seperti guru saya sendiri. Bukan itu sahaja, orang lama seperti abang Bob, Hafiz Suip dan Aepul Drama Band vokal mereka memang sangat hebat,” ucapnya kepada Xtra.

Barisan finalis AJL ke-34

Aina turut melahirkan rasa terharu dan bersyukur kerana sering mendapat sokongan yang berterusan daripada  orang ramai  terutamanya pihak TV3 yang memberinya peluang  untuk berada di pentas AJL34 setelah beliau lama  menyepi daripada industri.

Pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani yang pernah menyandang gelaran Naib Juara bagi Mentor 2014 itu berkata, tekanan daripada orang ramai juga yang membuatkan dia bangkit untuk berkarya dalam industri.

“Tipulah tidak pernah rasa ‘down’, sosial media itu sendiri yang bawa benda baik  kepada kerjaya saya, dan pada masa yang sama bawa buruk terhadap kesihatan. Sisi baiknya, apabila orang selalu tanya bila nak keluar lagu. Sisi buruknya, apabila orang mempertikaikan saya sebagai artis lesu selepas keluar daripada Mentor. Tapi komen sebeginilah yang buat saya ingin bangkit,” tambah Aina.

Terdahulu Aina dikatakan pernah mengalami kemurungan ekoran karier seninya yang tidak menyerlah selepas berakhirnya Program Mentor Legend 2014 lalu.

Apa-apapun all the best Xtra ucapkan buat Aina Abdul untuk pentas akhir AJL nanti!