Bakal bersalin tidak lama lagi, penyanyi Adira Suhaimi diminta menghadkan pergerakan kerana terlalu aktif menjalani rutin harian.

Adira atau pemilik nama penuh, Siti Adira Suhaimi juga sering berhadapan simptom mudah lelap terutama ketika memandu.

Oleh itu, Adira mengambil pendekatan untuk memanfaatkan masa di rumah terutama semakin hampir tarikh bersalin.

“Mengikut jadual, saya dijangka bersalin pada 8 Ogos depan namun berdebar juga kerana sudah menanti hari saja. Saya baru berjumpa doktor untuk pemeriksaan terakhir dan diminta untuk banyak berehat kerana mula rasa sakit pada bahagian pinggang.

“Hendak bercakap pun sudah ‘mengah’ kerana berat badan saya kini mencecah 80 kilogram. Tidak banyak beza dengan kehamilan sebelum ini, cuma saya lebih cepat penat, mungkin kerana kalut menguruskan dua anak saya iaitu Anggrek dan Assan.

“Saya juga mudah terlelap, kadang kala sedang berhenti di lampu isyarat pun sempat tertidur. Jadi, saya memastikan tidak banyak memandu kerana membahayakan nyawa saya dan anak-anak,” katanya kepada Xtra.

Tidak mengalami sebarang alahan pada kehamilan kali ini, penyanyi yang popular dengan lagu Pujaan Hati itu mendapat tahu dirinya hamil ketika kandungan berusia lima bulan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Anggerik pada 10 Mac 2017.

“Memandangkan saya melahirkan Anggrek dan Assan melalui pembedahan, jadi saya perlu banyak mendapatkan nasihat doktor berhubung proses kelahiran cahaya mata ketiga ini. Saya berharap semua mendoakan kelancaran untuk bersalin nanti.

“Saya bakal menjalani tempoh berpantang di sini, mungkin ibu akan datang daripada Sabah untuk memantau. Memandangkan pernah ada pengalaman bersalin sebelum ini, jadi tidaklah begitu kekok,” kata Adira.

Oleh: Zaara Talita