Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza (41) merancang untuk menambah cahaya mata pada tahun ini memandangkan anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid bakal menginjak 2 tahun pada 19 Mac nanti.
Walau bagaimanapun, Siti berkata dia perlu mendapatkan saranan doktor kerana masih perlu melalui proses rawatan kesuburan in vitro fertilisation (IVF) sama seperti Aafiyah.
Oleh kerana umurnya yang sudah meningkat, Siti menyasarkan untuk menimang cahaya mata selewat-lewatnya dalam masa dua tahun lagi sebelum umurnya 43 tahun.
Siti juga berharap kali ini dia dapat menimang cahaya mata lelaki kerana sudah pun mempunyai anak perempuan.
“Apa pun, saya berserah kepada Allah. Kalau Allah kata ada rezeki lagi, saya bersyukur. Kalau tidak ada pun, tidak mengapa. Ini kerana, Aafiyah satu-satunya doa yang saya menanti setelah sekian lama. Paling penting, saya kena fikirkan kesihatan saya juga,” katanya kepada Harian Metro.
Justeru itu, pelantun lagu Percayalah ini berkata dia akan mengikut apa saja nasihat doktor supaya impiannya untuk mendapatkan adik buat Aafiyah tercapai.
“Jika semuanya berjalan lancar, saya akan mengikut apa kata doktor. Jika doktor kata saya boleh menyanyi, saya tetap akan aktif.
“Tetapi, jika doktor nasihatkan saya supaya berehat, saya akan berehat. Jadi, kalau tengok saya senyap saja di media sosial, maknanya saya sedang ‘mengeram’,” katanya lagi.
InshaAllah, lepas ni berempat pula lah ya?