Pelakon, Datin Norzalina binti Mohamad (24) atau lebih dikenali sebagai Elvina Mohamad, mahu lupakan peristiwa hitam apabila rumahtangganya dilanda badai hampir setahun yang lalu. 

Mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku, pelakon yang popular menerusi drama Shhh…I Love You ini sedikit pun tidak kesal kerana telah berkongsi masalah rumahtangganya di laman sosial sedikit masa dahulu. 

“Ia sudah pun berlaku dan saya tidak pernah menyesali tindakan itu.  Biarlah masalah rumahtangga diketahui umum sekali pun, asalkan saya dapat memberi peringatan kepada wanita di luar sana supaya menjaga batas apabila berurusan dengan lelaki berstatus suami orang. 

“Sebenarnya, saya dan suami sudah pun membuka buku baharu.  Kalau boleh, kami sama-sama tidak mahu mengingati kembali peristiwa hitam yang berlaku hampir setahun lalu.  Dugaan itu menguatkan lagi kasih sayang kami, malah mengeratkan hubungan saya dan suami. 

“Dalam hal ini, saya tidak berhak meletakkan kesalahan itu di bahu suami semata-mata. Saya akui turut berbuat silap,” katanya kepada BH Online. 

Ibu kepada bayi lelaki bernama Karl Mateen ini menjelaskan yang dia kini mengambil sikap yang lebih berwaspada dalam perhubungan dengan orang sekeliling.

“Saya menjadi lebih berhati-hati bukan sahaja dengan suami, tetapi juga orang di sekeliling, termasuk ahli keluarga sendiri.  Jika sebelum ini saya memberi sepenuh kepercayaan kepada semua orang, kini saya perlu menyimpan 20 peratus kepercayaan itu untuk diri sendiri,” kongsi Elvina. 

Terdahulu rumahtangga pelakon ini dikatakan bermasalah apabila dia meluahkan rasa tidak puas hatinya di ruangan media sosial apabila seorang ejen insurans wanita didakwa cuba menggoda suaminya, ahli perniagaan Datuk Mohd Haniff Borhan (33). 

Baca: Kemelut Perkahwinan Elvina Mohamad Belum Tamat?

Teringat pula lirik lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.. “Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri..Buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi..”

Kredit Foto: Instagram @elvinamohamad