Pelakon Fasha Sandha mengumumkan dia kini hamil tiga minggu.

Menerusi laman Instagram, isteri kepada pelakon Aidil Aziz ini meluahkan rasa syukur atas anugerah terindah kepadanya sempena Ramadan ini.

“ Kali kedua nampak suami mengalirkan air mata semalam (kali pertama di hari pernikahan kami). Rasa terlalu awal untuk berkongsi kerana kehamilan terlalu awal, tak mengapa. Redha,” tulisnya ringkas.

Dalam masa sama, Fasha turut membuat perkongsian mengenai tips cepat hamil kepada para pengikutnya di Instagram.

“ Doa, percayalah kepada keajaiban doa. It’s miracle. Kepada yang telah lama berkahwin dan masih menunggu saat ini cuba ikut cara ini. 

“ Tukar dan tambah ayat dalam doa. Allah maha mendengar. Kalau nak merayu, merayulah kepadaNya. Syukur Alhamdulillah. Allah Maha Mengetahui,” tulisnya.

Sementara itu, Fasha turut berkongsi cerita mengenai dirinya yang tidak pernah terfikir akan berkahwin kali kedua selepas mengalami penceraian terdahulu. 

Katanya, dia terlalu selesa bergelar ibu tunggal sehingga tidak pernah terfikir untuk berkahwin sehinggalah bertemu Aidil.

Ibu kepada dua anak ini turut mengingatkan segala apa kurniaan yang diterima adalah sekadar ‘pinjaman’ daripada Allah SWT.

 “ Allah berhak ambil bila-bila masa sahaja cuma kita perlu teruskan berdoa agar pinjaman Allah ini berkekalan sehingga ke akhir hayat. Insha Allah,” katanya. 

Fasha Sandha berkahwin dengan aktor, Aidil Aziz pada 30 Mac lalu di kampung halaman Fasha di Perlis.

Difahamkan, Fasha dijangka melahirkan anak ketiganya pada 2 Februari 2020. Insha Allah! Buat Fasha dan Aidil, kami di XTRA mengucapkan tahniah dan semoga urusan kalian dipermudahkan Allah SWT…