Penyanyi Adira mengaku sedikit terkilan rancangan awal membawa dua anaknya beraya dengan bapa tercinta tidak kesampaian.

Kata Adira ketika ditemui di majlis pelancaran tudung Hermanas X Adira di The Curve baru-baru ini, meskipun sedih dengan pemergian bapanya dia mula reda.

“ Walaupun saya jarang berjumpa aya kerana dia tinggal di Johor Bahru dan saya di Kuala Lumpur, kasih sayang saya terhadapnya tetap utuh.

“ Arwah pernah memberitahu mahu bertemu dengan cucunya tetapi tidak kesampaian. Itu yang membuatkan saya sedih sampai sekarang,” kata Adira yang reda dengan pemergian bapa tersayang.

Menurut Adira, ibu-bapanya sudah bercerai sebelum dia dilahirkan lagi dan Adira berada di bawah jagaan ibunya.

Tambah pelantun Pujaan Hati ini, dia turut berpesan agar sentiasa menghargai keluarga sementara mereka masih hidup.

“ Kepada sesiapa yang masih ada bapa, gunakan kesempatan yang ada untuk luangkan masa bersama mereka.

“ Kita tidak tahu sampai bila mereka dipinjamkan. Hargai mereka sementara ada,” katanya dalam nada sebak.

Bapa Adira iaitu Suhaimi Rajiman meninggal dunia akibat kegagalan beberapa organ dalaman di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 21 Mac lalu.