Memang tidak disangkalkan lagi kalau kartun animasi buatan Malaysia ini sememangnya hebat. Terbukti pula kali ini filem animasi ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ disenaraikan sebaris dengan filem-filem antarabangsa popular yang kita sedia tahu seperti Frozen 2 dan Toy Story 4 bagi pencalonan Oscars 2020 untuk kategori Filem Animasi Terbaik. Tahniah kepada syarikat Les’ Copaque Production dan rata-rata ramai yang turut merasa bangga serta memberi komen semangat di laman instagram @upinipinofficial ketika mengumumkan berita gembira ini semalam.
Filem ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ ini secara ringkasnya memaparkan perjalanan dua beradik yang sudah tidak asing lagi malah begitu popular di Asia khususnya Malaysia dan Indonesia itu, ditambah dengan beberapa karakter menarik daripada kisah-kisah hikayat dongeng Melayu seperti si Tanggang, Raja Bersiong, Mat Jenin dan banyak lagi. Menarik bukan? Ternyata filem ini memang mengsasarkan kutipan RM40 juta dan telah berjaya mengaut kutipan sejumlah RM25 juta hanya dalam masa 3 minggu! Jauh mengalahkan kutipan filem-filem animasi antarabangsa lain seperti the Incredibles 2.
Untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh panel acara anugerah yang berprestij itu, filem Upin & Ipin akan ditayangkan di Los Angeles di dalam format Bahasa Inggeris, berjudul ‘Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris’. Trailer filem ini sahaja pun sudah mendapat lebih 7 juta ‘views’ dan lebih 50 ribu ‘likes’ manakala versi filem pendeknya mendapat 36 juta ‘views’! Kalau ada yang belum sempat menonton filem kebanggaan Malaysia ini, boleh tonton versi 10 minit filem tersebut di laman YouTube @Les’ Copaque Production atau tonton di bawah ini. Saksikan pengembaraan terbaru Upin & Ipin!