Pelawak, Ajak Shiro mengaku sebagai bapa, dia tidak pernah menyekat kebebasan anak dalam memilih cita-cita yang bersesuaian dengan jiwa mereka.

Ajak atau pemilik nama penuh, Mohamad Hanaffi Razak berkata, anak sulungnya, Mohd Jad Thaqif, 9, dilihat cenderung ke arah bidang kreatif. Selain meminati bidang tarian, anak lelakinya itu turut mengambil kelas mempertahankan diri Muay Thai pada masa lapang.

“Sebenarnya saya bukanlah jenis ibu bapa yang menekankan hala tuju dan masa depan anak-anak kerana jika dikawal dengan ketat sekali pun, akhirnya mereka akan memilih bidang yang dekat dengan diri mereka.

“Sejak kecil ini kita sebenarnya sudah dapat melihat corak pemilihan bidang yang bersesuaian dengan mereka. Jika minat bersukan, saya akan menyokong mereka untuk bergerak lebih aktif dalam bidang itu. Begitulah juga dengan cabang-cabang lain yang menjadi minat mereka.

“Apa pun, saya tetap menitik beratkan pendidikan kerana ia menjadi keutamaan, cuma tidaklah sehingga memaksa mereka membuat sesuatu yang tidak kena dengan jiwa mereka,” katanya kepada Xtra.

Ajak di temui di majlis pelancaran single terbaharunya yang berjudul Yang Mano bertempat di ibu pejabat, Warner Music Malaysia, baru-baru ini.

Anggota Shiro itu mendirikan rumah tangga bersama Nur Afifah Amin pada 6 Jun 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamad Jat Thaqif ,9, Mohamad Had Thaqif, 6, dan Nada Soffea, 4.

Single ketiga pertaruhan Ajak itu adalah ciptaan Altimet dan Ezra Kong untuk bergerak lebih aktif dalam bidang nyanyian.

Oleh: Zaara Talita