Oleh: Endy Ashari

“Ibu minta maaf suamiku tercinta, Rayfal dan Jemyma sayang,” tulis pelakon Fasha Sandha berkongsi kesedihan mengalami keguguran di Instagram pagi ini.

Fasha mengakui dia tidak mendengar nasihat doktor yang memintanya untuk berehat di awal kehamilan.

“Saya tidak mendengar cakap doktor untuk tidak banyak bergerak sepanjang hari raya. Tapi saya turun naik kereta api, kapal terbang, jalan laju-laju, tetap bekerja sampai selalu terlupa yang saya sedang mengandung.

“Ibu terlalu aktif sampai terlupa kandungan awal ibu perlukan banyak berehat. Ibu tahu, ibu bukanlah ibu yang terbaik,” tulisnya.

Fasha turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada peminat yang mendoakan dirinya ketika disahkan mengandung bulan lalu.

“Saya berasa sangat sedih untuk memberitahu saya keguguran. Doakan supaya kami kuat dalam melalui ujian ini.

“Terima kasih Allah kerana telah menumpangkan ‘anak syurga’ dalam rahim ku walaupun untuk seketika,” katanya.

Pada pertengahan Ramadan lalu, Fasha dan suami, Aidil berkongsi kegembiraan mereka apabila Fasha disahkan mengandung tiga minggu.