Pelakon serba boleh, Remy Ishak mengumumkan bakal melancarkan buku mengenai dirinya pada ulang tahun 11 April ini.

Kata hero Pujaan Hati Kanda ini, rancangan untuk menerbitkan naskah mengenai perjalanan dirinya sebegai anak seni sudah lama dipasang namun terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab.

“ Atas faktor tidak dapat dielakkan, hasrat saya menulis dan menerbitkan buku terpaksa dilupakan buat sementara waktu.

“ Beberapa tahun kebelakangan ini saya terfikir untuk menulis & menerbitkan sebuah buku yang menceritakan kepayahan serta perjuangan hidup yang saya lalui sebagai seorang anak/adik/abang yang memikul tanggungjawab bagai seorang ‘bapa’ dalam keluarga, anak seni yang ‘struggle’ apabila di belakang tabir, serta seorang hamba Allah yang sering diuji dengan pelbagai dugaan,” tulisnya di laman Instagram

Remy yang bakal menyambut ulang tahun ke 37 tahun ini bersyukur diberi peluang dapat berkongsi kisah yang mungkin dapat dijadikan inspirasi buat anak muda.

“ Pelbagai kata positif dan sokongan penuh yang diterima untuk meneruskan hasrat ini. 

Saya telah berfikir sehabis baik dan InshaAllah akan melancarkan buku ini pada hari kelahiran saya tanggal 11 April 2019 .

“ SEDEKAD akan memetik perjalanan & pengembaraan saya sebagai anak seni bermula dari tahun 2009, tahun dimana nama Remy Ishak mula dikenali sebagai seorang pelakon setelah diberi peluang membawa watak ADAM HJ HASSAN dalam drama siri berjudul ‘Nur Kasih’. Ianya juga menceritakan segala yang tersurat dan kejadian yang telah berlaku kepada diri saya untuk kehidupan seterusnya bermula dari situ hingga tahun 2019 hari ini,” ceritanya.

Menariknya mengenai SEDEKAD, Remy turut berkongsi kisah fasa di mana berdepan dengan ujian termasuklah diganggu perkara pelik.

“ SEDEKAD juga akan menjawab setiap persoalan yang tidak pernah terungkai apabila disoal oleh rakan wartawan untuk sebarang media, termasuklah fasa di mana saya diuji dengan ego dalam diri serta perkara pelik & mistik, dimana akhirnya ia mengundang kejatuhan dan kemurungan dalam diri saya sendiri,” katanya.

Pelakon filem Pulang ini turut berterima kasih atas sokongan peminat yang tidak pernah berhenti sejak mula dia masuk ke dalam dunia lakonan sejak SEDEKAD lalu.

“ Semoga anda semua dipermudahkan segala urusan dunia & akhirat, serta selalu beroleh kejayaan,” akhirinya.