Hampir 3 tahun telah berlalu semenjak kes kematian mengejut CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan. Kematian Nazrin terus mengundang seribu persoalan dan tanda tanya. 

Sehingga ke hari ini, kes perbicaraannya masih belum tamat dan pihak polis belum menemui jawapan untuk merungkaikan punca kematiannya. Namun apa yang pasti punca utama CEO muda berusia 46 tahun yang  ditemui mati rentung di rumah kediamannya, bukanlah disebabkan letupan telefon bimbit sebaliknya pihak polis berjaya membuktikan bahawa Nazrin Hassan sebenarnya telah dibunuh sebelum dibakar. 

Menurut pihak polis, kematian Nazrin Hassan diklasifikasikan sebagai kes bunuh berikutan laporan oleh pihak bomba dan juga laporan bedah siasat yang diterima. 

Menerusi laporan yang diterima, keputusan makmal mendapati terdapat kesan minyak petrol dijumpai pada empat lokasi di kepala, bingkai katil, tilam dan telefon bimbit mangsa. Berdasarkan hasil bedah siasat, sebanyak 30 peratus kesan melecur turut ditemui di badan mangsa. 

Seramai empat individu telah didakwa di atas kes pembunuhan ini, keempat-empat suspek merupakan kenalan mangsa, tiga daripadanya merupakan ahli keluarga mangsa iaitu isteri mangsa sendiri, Samirah Muzaffar, 44 tahun, dua orang remaja masing-masing berusia 17 tahun dan 14 tahun serta seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari. 

Saksi tidak dapat membuat pengecaman wajah ketika di mahkamah sewaktu ditanya mengenai balu mangsa, Samirah Muzaffar

Ketika salah satu proses perbicaraan berlangsung, salah seorang saksi dikatakan tidak dapat membuat pengecaman wajah Samirah Muzaffar, ketika ditanya di kandang perbicaraan saksi tidak dapat melihat wajah mangsa secara jelas sedangkan Samirah berada di hadapan saksi. Hal ini mencetuskan tanda tanya dan persoalan orang ramai yang sekaligus mempersoalkan sekiranya Samirah ada mengamalkan “ilmu hitam”. 

Tengkorak dan darah dipercayai ditemui di tempat kejadian kebakaran

Selain itu, tengkorak dan darah juga dipercayai ditemui di bawah katil sewaktu mayat Nazrin Hassan dijumpai rentung di kediamannya di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara. Mangsa turut ditemui dalam keadaan seorang diri. 

Sehingga ke hari ini, mahkamah masih membicarakan kes ini. Jawapan yang pasti masih belum ditemui. Benarkah Nazrin Hassan dibunuh dan jika benar, adakah konspirasi pembunuhannya ada kaitan dengan ilmu hitam? 

Kredit foto: Berita Harian