“Mentor kena lebih tolong protege. Menang kalah itu belakang kira. Sebagai mentor, tugas mereka adalah membantu protege-protege mereka, pegang tangan dia, tunjuk apa nak buat. Itu tugas mentor sebenarnya,” kata juri tetap Datuk Syafinaz Selamat kepada Xtra ketika ditemui selepas persembahan minggu ke-7 Mentor Milenia 2019, Ahad lalu. 

Minggu ke-7 Mentor Milenia 2019 menyaksikan para protege berduet dengan artis pilihan mereka di atas pentas dan secara keseluruhan, Syafinaz berkata dia berpuas hati dengan persembahan minggu ini kerana menurutnya protege tampak lebih berani dan bersemangat di dalam persembahan mereka, bukan seperti minggu-minggu lepas. 

“Sebenarnya saya rasa bila nyanyi berdua ni, mereka macam lebih berani dan energetic.  Beberapa minggu lepas, persembahan agak lemau…minggu ini ada peningkatan.

“Walau bagaimanapun saya lihat ada lagi protege yang masih mencari identiti mereka sendiri. Ini dah minggu ketujuh! Yang dah ada identiti pula, tak mahu mencuba sesuatu yang baru. I’ve seen this, so what else can you bring to the table? I want to see something new each week!” jelas Syafinaz.

Pentas Mentor Milenia juga menyaksikan gubahan lagu dan susunan muzik yang lebih urban atau ‘milenial’ dari mentor-mentor, seperti persembahan Arayn Malik yang menyanyikan lagu Seiring Sejalan dan diselitkan lagu ‘Bunga’ dari Altimet.

“Tukar susunan muzik, saya tak ada isu, I’m all for that. Itu menunjukkan yang mentor-mentor kreatif, tapi kita hanya ada 3 minit… janganlah dalam masa 3 minit tu kita nak masukkan semua, caca marba jadinya. 

“Arayn nyanyi lagu Seiring Sejalan, kemudian Bunga…the transition is smooth. Itu menunjukkan sisi artistik. Sebagai seorang Mentor, anda kena bijak. Mereka-mereka ni beruntung sebab ada mentor yang akan mengajar dan mendidik,” kata Syafinaz lagi. 

Bangga dengan persembahan Aedy Kama, protege kepada Mentor Black Hanifah yang memenangi juara minggu ke-7 selepas mempersembahkan lagu Drama dari Drama Band bersama rakan duetnya , Qody, Syafinaz berkata Aedy telah menunjukkan kemampuannya untuk mencuba sesuatu yang baru, di samping dapat mengawal ‘pitching’ dengan  baik. 

“Untuk peserta yang masih tinggal, bila anda ada di bottom two, ini bukan masa anda untuk berputus asa. Itu adalah masa anda untuk bertarung habis-habisan. Bila you give up, kita nampak dan that’s the time we say goodbye,” pesan Syafinaz kepada protege-protege, mengakhiri perbualan. 

Jangan lupa saksikan Mentor Milenia 2019 setiap Ahad, jam 9.00 malam!