FESYEN By: SGMS Faida May 17, 2019 @ 4:48pm

Jom Intai Gaya Koleksi Raya 2019!

Sejak sebelum Ramadan lagi, kelibat pereka fesyen tempatan sudah mula rancak menganjurkan pertunjukan fesyen bagi mempamerkan koleksi busana raya. Ia bagaikan tradisi yang terus menyemarakkan lagi bulan mulia yang diraikan kini.

Saban tahun, persaingan sihat antara jenama fesyen ini juga menjadi ruang pilihan buat penggemar fesyen dan masyarakat mendapatkan busana idaman yang diingini selain rekaan up to date.

Bukan hanya pereka fesyen, kehadiran artis yang memiliki jenama sendiri juga memberi variasi kepada umum untuk digayakan tidak hanya di musim raya Aidilfitri, bahkan ada rekaan praktikal yang boleh dipakai pada bila bila masa.

1) Ezuwan Ismail

Tahun kesembilan menceburi dunia fesyen, Ezuwan Ismail yang kini turut bergelar penyanyi kumpulan trio E1 mencipta sejarah baru dalam diari hidupnya. Tanggal 14 April lalu, bukan hanya setakat mempersembah koleksi raya untuk pentas fesyen Gaya Koleksi Raya 2019 anjuran Andrewsmodel Malaysia, tetapi turut melancarkan single kedua bersempena Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Istimewanya koleksi dan single raya itu dinamakan sebagai Rindu Lebaran. Terdahulu kumpulan trio E1 yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran pernah muncul dengan single sulung, Semalam Sahaja.

“Sesuatu yang manis untuk saya kenang bagi bidang fesyen serta nyanyian yang baru disertai. Saya anggap ia sejarah peribadi buat diri.

“Saya dapat ilham menamakan koleksi raya kali ini dengan nama Rindu Lebaran selepas merakamkan lagu dengan komposer S Atan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai koleksi rayanya kali ini, Ezuwan mereka 28 helaian.

“24 daripadanya untuk perempuan dan selebihnya untuk lelaki. Untuk koleksi ini, saya membawa kembali rekaan kurung tradisional, kurung pesak gantung, kebaya dan kurung kedah.

“Saya suntik elemen baru selari dengan citac rasa zaman kini menerusi penggunaan fabrik daripada broked lace, linen dan french lace yang ditambah dengan perincian minimalis sesuai untuk kelesaan beraya di desa dan di kota.

“Terdapat pelbagai pilihan dalam warna pastel seperti merah jambu, biru firus, kuning gading dan juga warna pekat seperti merah senduduk, hijau zamrud dan hitam kumbang.

“Koleksi untuk lelaki terdiri daripada rekaan baju melayu Johor dengan penggunaan fabrik bercorak kekotak dan garis vertikal daripada fabrik linen serta kapas dengan padanan warna pastel,” katanya.

Koleksi raya Ezuwan Ismail dijual bermula harga dari RM799 ke RM2800 dan boleh dibeli di butiknya di Taman Dagang. Instagram, @ezuwanismail.

2) Alia Bastaman

Saban tahun, koleksi busana rekaan Alia Bastamam masih mengekalkan tradisi dan identitinya yang cukup optimistik menerusi pilihan warna yang dipersembahkan. Kali ini warna pastel menjadi pilihan yang menterjemahkan pelbagai mood menerusi koleksi rayanya, Alia B Raya 2019.

Malah koleksinya kali ini juga praktikal kerana setiap helaian boleh disuai padan bukan semata-mata untuk hari raya.

Alia terus mengekalkan gaya DNA rekaannya.

“Sebagai contoh ada jaket bomber yang saya serlahkan ikut aliran terkini. Yang bertudung pun boleh mengenakannya dengan memakai baju kolar penyu (turtle neck) dan disuai padan dengan tudung.

“Jaket bomber ini juga boleh digayakan secara ‘off shoulder’. Kalau sebelum ini koleksi saya juga menggabungkan banyak konsep seperti lace dan bercetak sebagai variasi.

“Koleksi ini juga boleh dipakai untuk mereka yang bertudung dan sebaliknya. Bahagian atas baju raya yang saya reka kali ini juga boleh dipakai begitu sahaja menjadi gaun untuk acara kasual atau santai. Pendek kata, konsep dua dalam satu saya praktikkan kali ini bagi memudahkan si pemakai,” katanya.

Tambah pemenang Pereka Tahunan, Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 itu, dia selesa mereka busana yang boleh dipakai bila bila tanpa lapuk dek masa.

“Dalam almari pakaian, baju saya ini kira boleh digayakan ikut acara tertentu mengikut kreativiti si pemakai. Tak perlu pening kepala, baju raya pun boleh digayakan untuk acara lain,” katanya.

Mereka busana raya setiap tahun bukanlah satu tugas mudah.

“Memang pecah kepala juga nak fikirkan koleksi bagaimana pula yang mahu ditampilkan. Memang saya selalu tanya dalam hati, apa yang pelanggan atau penggemar Alia Bastamam mahukan? Saya lebih senang meletakkan diri ini sebagai pelanggan atau pengguna. Cara itu buat saya lebih realistik dalam mengeluarkan rekaan itu dan ini,” katanya.

Ditanya mengenai koleksi lelaki, Alia mengakui mahu lebih fokus dengan apa yang sudah dimulakan sejak tahun 2010.

“Mungkin koleksi lelaki saya akan pertimbangkan pada masa akan datang. Ada permintaan sebenarnya untuk mereka pakaian lelaki. Cuma saya tak mahu terburu-buru.

“Insya-Allah semua itu pasti akan tiba kalau dipermudahkan,” katanya.

Koleksi raya Alia B 2019 juga boleh dibeli di Fashion Valet dan di beberapa gedung beli belah terpilih atau jengah ke Instagram @aliabrtw

3) Elfira Loy X MC Vogue

MC Vogue kini menjadi jenama tempatan yang pantas mencuri perhatian di seluruh negara dengan lebih 20 cawangan. Malah nama MC itu sendiri sebenarnya merupakan akronim kepada Muslimah Collection dan diusahakan oleh pasangan suami isteri Teff and May sejak tahun 2012 lagi.

Dengan konsep pakaian moden untuk golongan wanita yang menitik beratkan cita rasa dengan nuansa sopan, anggun dan kekal bergaya, tidak hairan jenama MC Vogue ini sudah mampu membina kelompok aliran pengikutnya
sendiri yang sentiasa mempercayai kualiti jahitannya.

Tidak mahu ketinggalan dan merasai kehangatan sambutan Ramadan serta Aidilfitri kelak, MC Vogue juga buat julung kali menjalinkan kolaborasi bersama artis dan ahli perniagaan terkenal, Elfira Loy.

Lalu terhasillah nama Elfira Loy X MC Vogue. Hadir dengan empat rekaan unik koleksi Hari Raya Aidilfitri, kerjasama ini melambangkan sentuhan feminin dan elegan pada masa sama yang sering menjadi pilihan si genit itu.

Gaya minimalis yang diserlahkan pelakon berkenaan juga memberi inspirasi kepada pihak MC Vogue untuk menampilkan kolaborasi unik dengan konsep ‘Fairy Forest’. Koleksi ini menggunakan bahan rona lembut, sejuk,
berbulu, manik berkilauan dan kasut kaca cinderella sering diterangkan dengan jelas, meningkatkan rasa keajaiban untuk genre seumpama ini.

Harga sepasang RM299 juga sangat mampu milik.

Instagram: @mcvogue.com.my

Memiliki lebih 20 cawangan di seluruh negara
Cawangan di Paradigm Petaling Jaya, IOI City Mall, Melawati Mall, Setia
City Mall, Mytown Shopping Center, Empire Shopping Gallery, Aman Central
(Alor Setar, Kedah), AEON Bandar Melaka, AEON Bandar Dato Onn (JB) dan
Paradigm JB, Kuantan City Mall dan AEON Kelantan

4) Kree

Jenama fesyen tempatan, KREE melancarkan koleksi raya keenam khas untuk Fashion Valet. Dilancarkan di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Teater Ku Ash baru baru ini, pentas peragaan malam tersebut diinspirasikan oleh suasana tanah lapang. Pentas peragaan dipenuhi oleh pasir pantai dan dihiasi dengan ranting-ranting pokok bakau bagi menaikkan lagi “mood” kempen yang mereka ilhamkan.

Hasil buah tangan pereka muda Ridzuan Alias, koleksi ini diberi nama The Wanderer yang bermaksud pengembara. Koleksi raya kali ini dihiasi dengan filem fesyen pendek yang dibintangi oleh model tempatan, Talie Prabha, Hidayah Baharuddin dan Rita Nadira.

Elemen kembara dapat juga dilihat dengan corak bermotif tribal dan fabric sulaman yang cukup menarik perhatian. Selain dari itu, koleksi ini turut mempunyai banyak potongan tradisional Malyu yang digabungkan dengan pakaian tradisi Jepun, kimono. Rekaan seperti Saloma Kimono Kurung dan Embun Kimono Kurung.

Terdapat pelbagai warna menarik dari koleksi ini, dari warna terang hingga ke warna gelap, sesuai dengan KREE yang sering memberi pelbagai jenis pilihan kepada pelanggan. Harga bagi koleksi ini pula bermula dari RM 349 hingga ke RM 449. Instagram @kree_my

5) Hatta Dolmat

Memilih pelakon Nadia Brian sebagai muse atau wajah wakilan koleksi raya Luxe 2019nya, Hatta Dolmat sebenarnya sudah lama mengintai artis kacukan itu untuk menjalin kerjasama fesyen.

Sangat bertepatan dengan tempoh Ramadan yang diraikan, mood raya dan jelasnya koleksi Hatta Dolmat Raya Luxe 2019 bersesuaian untuk mereka yang mementingkan nilai eksklusif , keanggunan dan ciri feminin untuk beraya.

Pengunaan fabrik french lace, sifon, creepe dalam warna mewah seperti hijau rimba, merah hati sehingga palet warna pastel lembut menyuntik kelainan dan keunikan koleksi dari Hatta Dolmat tahun ini.

Untuk mendapatkan lebih info tentang koleksi ini anda boleh whatsapp Admin Hatta Dolmat
+60135959864 / [email protected]

6) Bangsawan: Neonate x Tenun Pahang Diraja Felda

Neonate menandai sebuah sejarah peribadi buat jenama tersebut apabila muncul dengan kolaborasi yang cukup unik. Neonate buat pertama kalinya akan berkolaborasi dengan Tenun Pahang Diraja Felda.

Kolaborasi tersebut disepakati kerana kedua duanya baik Neonate atau Tenun Pahang Diraja Felda mahu berinovasi dengan setiap rangkaian terkini mereka.

Neonate diketahui sudah melahirkan banyak rangkaian fesyen jalanan, manakala Tenun Pahang Diraja pula diiktiraf sebagai memiliki kualiti yang sukar ditandingi fabrik tenun luar negara.

Menamakan kolaborasi tersebut sebagai BANGSAWAN, Neonate x Tenun Pahang Diraja Felda juga mahu memecahkan skeptikal bahawa fabrik atau kain tenun hanya sesuai digayakan dan punya sasaran kelompok Diraja dan bangsawan.

Sebaliknya Neonate mahu memberi sebuah rangkaian fesyen street wear yang segar dan mengikut trend menerusi kolaborasi bersama Tenun Pahang Diraja Felda.

Di bawah BANGSAWAN, kolaborasi ini menjadi fusion pertama tenun dengan street wear.

“Kolaborasi ini sebagai sebuah lambang bahawa jenama street wear boleh berpadu dengan fabrik atau design tenun jika kita berani meneroka sesuatu yang baru.

“Ia sekali gus menjadi pemecah skeptikalnya kita apabila mengingkatkan kain tenun apa lagi dengan predikat Diraja hanya untuk golongan bangsawan atau elit.

“Sebaliknya, kolaborasi ini akan membuktikan bahawa kain tenun juga boleh dan mampu digayakan oleh semua golongan termasuk generasi muda,” ungkap pengasas bersama Neonate Clothing, Khairul Shafek Ibrahim atau Karl Shafek.

Koleksi ini dijual pada harga yang kompetatif dan mampu milik. Harga bagi songket custom made berada dalam lingkungan RM1500 manakala untuk baju Melayu bermula dari harga RM200 ke RM400.

Selain baju Melayu, edisi kali ini juga punya kurta dan kurta kemeja untuk dimiliki. Sebarang pembelian, boleh layari Online di www.neonatecompany.com., atau meninjau pemilihan akaun Instagram @neonate.company.

Atau singgah dan memilih sendiri rangkaian BANGSAWAN juga edisi lainnya di kedai yang beralamat 20-2, Jalan Ara SD 7/3a, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

7) Calvin Thoo

16 tahun di pentas fesyen, Calvin Thoo antara pereka fesyen senior yang terus utuh mempamerkan sisi kreatifnya. Malah untuk koleksi raya kali ini, pereka fesyen mualaf itu mengambil inspirasi daripada baju asal yang pernah digayakan Almarhumah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Afzan Pahang Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

Kata Calvin, ada tunjuk koleksi yang mengambil ilham busana digayakan Almarhumah berkenaan. Selain itu, pereka fesyen genit ini juga lebih memperbanyakkan koleksi kebaya. Kata Calvin, dia mahu mengembalikan identiti wanita Melayu selain rekaan moden.

Rekaan signaturenya yang menggunakan kain sifon juga turut dikekalkan.

Harga baju raya Calvin kali ini dijual dari harga RM3000 dan boleh ditempah serta dibeli terus di butiknya di No 80, Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur

Calvin juga turut mereka tiga baju kurta untuk golongan lelaki. Selepas lapan tahun tidak mereka pakaian lelaki, Calvin cuba menguji pasaran selain memenuhi permintaan temannya.

8) Rico Rinaldi Summerraya 2019

Bebas, indah berwarna-warni, itulah definisi koleksi terbaharu Summeraya RICO RINALDI 2019.

Memasuki usia kelapan pengeluaran koleksi Summeraya sejak 2012, RICO RINALDI terus mengorak langkah untuk menyajikan seleksi busana terindah sempena kedatangan bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Mengambil inspirasi daripada rama-rama, RICO RINALDI menterjemahkan koleksi Summeraya kali ini daripada kelembutan sifat dan harmoninya letusan warna sang rama-rama.

“Biarpun mengetengahkan warna pastel yang menjadi dambaan wanita saban tahun, kelembutan dan keayuan akan kekal terserlah buat pemakai busana Summeraya 2019.

“Setiap rekaan menterjemah simbolik kehidupan rama-rama yang sangat cantik dan hadir dengan pelbagai pilihan warna.

“Summeraya 2019 turut menyuntik motif floral dan mengekalkan perincian unik serta ikonik sepanjang zaman RICO RINALDI,” kata pemilik jenama RICO RINALDI, Rico Rinaldi Tono.

Summeraya 2019 mempersembahkan 45 rekaan daripada tiga koleksi; Ramadan, Bespoke dan Summeraya.

Menariknya koleksi kali ini juga, RICO RINALDI mempelbagaikan teknik cut off dan layering fabrik untuk memberikan penegasan pada bahagian lengan, skirt dan peplum dalam setiap helaian.

“Fabrik bertekstur dan pleated dikekalkan dalam koleksi kali ini.

“Malah, setiap rekaan boleh disuai digayakan bukan hanya untuk Aidilfitri malah boleh juga padankan dengan pakaian harian,” tambah RICO RINALDI.

RICO RINALDI turut menghasilkan empat rekaan baju Melayu lelaki untuk Summeraya 2019. Malah selebriti media sosial terkenal Ameera Khan dipilih sebagai Face of Summeraya 2019.

Pemilihan Ameera yang memiliki lebih 1 juta pengikut di Instagram (@littlemisskhan) dan pengaruhnya yang hebat di media sosial menjadi penanda aras baharu buat RICO RINALDI. Sebelum ini kakaknya, Neelofa juga pernah menjadi wajah wakilan koleksi raya pereka fesyen ini.

Semua rekaan Summeraya 2018 boleh dibeli dengan harga kurang daripada RM430-RM500 (Summeraya), RM1,800-RM2,300 (Bespoke) dan RM299-RM329 (Ramadan). Sebarang pembelian, boleh layari online di www.ricorinaldi.com, atau di www.fashionvalet.com.

Koleksi Summeraya 2019 juga boleh didapati di Butik Rico Rinaldi di Plaza Damas dan Bangi Sentral. Selain itu, Summeraya 2019 dijual di Physicon Malaysia (@physiconmalaysia) dan Robinsons Kuala Lumpur.

9) GHAANIA x 3 Little Ahmads

Pereka fesyen Ghaania oleh Ellynur S. dan Illi S menjalinkan kerjasama dengan Three Little Ahmads cetusan Datuk Fazley Yaakob dan Datin Azrene Ahmad menerusi koleksi busana raya untuk wanita dan kanak-kanak di pentas berprestij di Gaya Koleksi Raya 2019 yang dianjurkan oleh Andrews Models Malaysia. Ghaania mempamerkan 16 koleksi bertemakan ballerina (#GhaaniaBallerinaRaya) di mana koleksi tersebut diberi suntikan klasik, elegan dan sofistikated.

Rekaan tahun 2019, Ghaania banyak mempamerkan pelbagai jenis lace yang unik dan menampakkan kelembutan pada si pemakai.

Persiapan dan rekaan koleksi ini telah dilakukan sebelum 6 bulan dan koleksi Ghaania Ballerina Raya boleh di dapati di halaman rasmi Ghaania, www.ghaania.com, FashionValet dan Modvier Bangsar.

Ghaania juga akan berada di Publika Senandung Raya 2019 daripada 10 May 2019 hingga 2 June 2019.Kolabrasi bersama Three Little Ahmads telah dirancang daripada awal tahun lagi. Three Little Ahmads telah mempamerkan koleksi terbaru mereka untuk Raya 2019 di mana koleksi mereka mengetengahkan keselesaan kanak-kanak di pagi raya dan kepelbagaian setiap rekaan di mana baju adalah reversible, dan boleh di pakai untuk musim perayaan atau baju harian yang sangat high fashion.

Three Little Ahmads juga menyokong Projek Early Austism, di mana beberapa orang model-model cilik Three Little Ahmads adalah autistik. Sokongan terhadap Projek Early Austism adalah bertujuaan untuk menimbulkan kesedaraan ramai terhadap autistik. Busana dah koleksi Three Little Ahmads boleh didapati di halaman rasmi, www.threelittleahmads.com, Robinsons di Four Seasons dan The Gardens Mall Malaysia.

10) ShawlPublika

Jenama fesyen tempatan yang sinonim dengan penggunaan fabrik sari dalam kebanyakan rekaannya, Shawlpublika mempersembahkan koleksi terbaharu sempena Aidilfitri 2019 bertemakan TIMELESSRAYA.

Himpunan rekaan kali ini mencipta sejarah tersendiri dalam pencapaian Shawlpublika sejak diwujudkan pada tahun 2015.
Buat julung kalinya, Shawlpublika menggunakan kain sari bercorak (printed saree) sekali gus menjadikan mereka rumah fesyen tanah air pertama membawa masuk fabrik eksklusif tersebut.

Gabungan glam dan tradisional menjadi elemen rekaan Syawal tahun ini dengan mengutamakan gaya klasik.
“Sesuai dengan tema TIMELESSRAYA, raya tahun ini kami mengeluarkan untuk kali pertama kurung Pahang dan kurung Kedah menggunakan sari bercorak. Jadi variasi rekaan tahun ini lebih pelbagai, eksklusif dan selesa,” kongsi pengasas Shawlpublika, Nur Hidayu Zorkafli.

Selain sari bercorak, Shawlpublika masih mengekalkan penggunaan fabrik signaturnya seperti sari sifon, sari kapas dan sari sutera. Tahun ini juga pemilihan fabrik dilakukan dengan lebih terperinci dengan mengambil kira keselesaan pelanggan agar ia boleh dipakai di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Koleksi Aidilfitri TIMELESSRAYA 2019 Shawlpublika sudah menemui pelanggan bermula pertengahan April lalu. Pembelian boleh dibuat secara online menerusi laman web www.shawlpublika.com, agen sah atau di butik Shawlpublika di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Harga bermula daripada RM399 hingga RM599 dengan pilihan saiz XS hingga XXL. Saiz ekstra (XXL) terhad untuk rekaan terpilih sahaja.

11) Mode by Mirol Jonit & Rifai Exclusive

Buat julung kalinya, jenama fesyen wanita Mode by Mirol Jonit bergabung dengan koleksi lelaki Rifai Exclusive. Gabungan mereka memberi variasi dengan setiap padanan baju untuk wanita dan lelaki sesuai digayakan sendondon selain praktikal dan menepati cita rasa.

Bagi Mode by Mirol Jonit, ini kali kedua mereka mengeluarkan koleksi raya. Setiap rekaan yang dihasilkan mempunyai elemen yang tersendiri dan tidak terlalu mencuba dengan aliran fesyen. Bahkan rekaan ini membuktikan bahawa pemilihan konsep ringkas dan minimalis tepat menjadi pilihan pembeli untuk digayakan di pagi raya.

Pemilihan material sutera crepe dan Thai menjadi taruhan dan juga pemilihan renda perancis menambah kemanisan pada setiap helaian yang dihasilkan. Rekaan yang dihasilkan sangat eksklusif dan terhad. Ia mengetengahkan konsep made to measure bagi rekaan baju perempuan, namun sebalik pula dengan rekaan baju melayu moden yang hadir dalam pasaran ready made.

Harga dijual bermula RM499 hingga RM899. Instagram @mode.miroljonit

Manakala baju Melayu Rifai Exclusive pula dihadirkan menerusi potongan slim fit. Menggunakan material crepe dan kain kapan Jepun yang sangat lembut, teksturnya memudahkan untuk disetereka. Bahkan si pemakai akan bertambah kacak dengan koleksi yang terletak di badan ini.

Penggunaan zip di tepi bahagian baju selain di dua belah tangan memberi keselesaan kepada si pemakai. Malah baju Melayu ini juga boleh dijadikan kurta dan dipadankan dengan seluar tona berbeza.

Jenama Rifai Exclusive ini bermula sejak tahun 2016 menerusi penghasilan baju kurta.

Harga dari RM170 hingga RM220. Instagram @rifalexlusive

12) Ariani

enyuntik inspirasi floral, Ariani kembali ke pentas peragaan dalam mempersembahkan koleksi ARIANI FLORAYA 2019 bersama rekaan hijab dan busana yang lebih segar dengan paduan warna-warna menarik untuk digayakan semasa musim perayaan dan undangan rumah terbuka.

Koleksi kali ini mengilhamkan rekaan hijab dan busana terkini dengan pelbagai pilihan dan gaya yang cukup menawan. Sebanyak lebih 100 pilihan hijab terbaru diperkenalkan dengan kombinasi warna, material dan cetakan yang lebih unik, moden dan elegan dalam setiap helaian hijab.


Bermula dari rekaan selendang sehinggalah ke pilihan tudung instant, koleksi ini merangkumi pilihan hijab polos dengan warna pastel dan vibrant yang menarik dan juga terdapat dalam pilihan corak printed yang segar dan cantik. Kesemua koleksi ini dijual pada harga bermula RM69.

Tak ketinggalan pilihan untuk koleksi Ariani Luxe yang lebih eksklusif. Bermula dari koleksi basic, selendang, swiss voile, turban dan juga inner semuanya digarap dengan penuh nilai eksklusif bersama pilihan fabrik terbaik yang pastinya menjanjikan keselesaan kepada pelanggan kami.

Seterusnya koleksi ARIANI READY-TO-WEAR (RTW) menampilkan koleksi lebaran yang merangkumi kurung moden polos, kurung printed moden dan jubah. Menerusi koleksi ini, kesemua rekaan mengangkat seni cetakan dalam nuansa pastel dan vibrant yang menyerlahkan lagi sisi kewanitaan.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Hiburan Thu, 14 Nov 2019

Zahiril Adzim Kecewa Dengan Siapa Tu?

Masing-masing ada hak untuk bersuara kan?

Events Mon, 11 Apr 2022
Featured Tue, 5 Sep 2023
Hiburan Mon, 1 Oct 2018
Hiburan Wed, 14 Jun 2023
Hiburan Fri, 7 Feb 2020

Betul Ke Kamal Adli Dan Hannah Delisha Kena Kahwin ‘Paksa’ ?

Tengok gambar pun dah sweet, inikan pulak cerita dia!