Dijalankan sejak tahun 2011, kempen Simply Siti Di Hati diteruskan pada tahun ini bagi mengumpul dana membantu kanak-kanak pesakit jantung.
Pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan berbesar hati menjayakan kempen ini kerana memahami perasaan ibu-bapa yang anak mereka mengalami masalah jantung.
“Sebagai seorang ibu, saya faham perasaan bagaimana ketika anak sedang sakit. Aafiyah kalau demam pun saya sudah susah hati apa lagi jika berdepan dengan penyakit kronik. Atas sebab itu saya terpanggil untuk menghulurkan bantuan menerusi kempen yang bakal memberikan sinar baharu kepada kanak-kanak ini,” katanya kepada Xtra.
Sementara itu, Siti memaklumkan kempen kali ini yang dijalankan bermula November hingga Disember meletakkan sasaran sebanyak RM70,000 untuk membantu sekurang-kurangnya lima pesakit kanak-kanak.
“Sejak 2011, Simplysiti Di Hati berjaya mengumpul dana sebanyak lebih RM 200,000 yang disalurkan kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) dan telah membiayai kos perubatan dan pembedahan 14 kanak-kanak yang menghidap masalah jantung.
“Istimewanya ahun ini saya melancarkan single terbaharu berjudul ‘Terang’ yang diangkat sebagai video kempen kali ini. Lagu ini bakal memberi semangat kepada kanak-kanak ini untuk terus kuat dan bersemangat dalam mengharungi ujian hidup,” katanya.
‘Terang’ merupakan ciptaan komposer Aubrey Suwito dan lirik ditulis oleh Shah Shamsiri yang akan dimuatnaik di saluran Youtube bermula 1 November ini. Sekiranya tontonan mencapai 1 juta, Simplysiti akan menyumbangkan lagi RM10,000 kepada Yayasan IJN.
Malah melalui beberapa kempen ‘membeli sambil menderma’ setiap pembelian produk Simplysiti berjumlah RM120 dan RM200 bagi pembelian di mana-mana butik Creacion, sebanyak RM5 akan disumbangkan ke tabung.
Selain itu, melalui peraduan ‘Derma dan Menang” pelanggan yang membeli produk Simplysiti berhak mendapat satu hadiah kotak eksklusif yang mengandungi gincu bibir dan baucer.
Cara penyertaannya, pembeli hanya perlu berkongsi gambar swafoto bersama kotak hadiah Simplysiti Di Hati berkenaan dan dimuatnaik ke dalam facebook atau Instagram masing-masing dengan hashtag #simplysitidihati2019.
15 pemenang bertuah dengan gaya menarik bakal dipilih untuk memenangi “Fun Day Out’ bersama Siti Nurhaliza.
Oleh Fas.