Siapa ingat filem Ombak Rindu yang diadaptasikan dari novel karya Fauziah Ansari, lakonan Aaron Aziz sebagai Hariz dan Maya Karin sebagai Izzah? Kini, novel trilogi ke-2 dan 3 Ombak Rindu kembali dalam bentuk drama bersiri 4 bahagian iaitu Ombak Rindu The Series di iflix bermula pada 5 Disember 2019. 

Drama bersiri ini menghimpunkan barisan pelakon handalan Malaysia seperti Remy Ishak dan Izara Aishah sebagai teraju utama Ombak Rindu iaitu Hariz dan Izzah, pasangan kekasih yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam drama penuh romantis hasil karya paling laris oleh penulis novel, Fauziah Ansari. 

Pada tahun 2011, filem Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel cinta tajuk yang sama berjaya menjadi box office dengan kutipan melebihi RM10 juta! Selang lapan tahun kemudian, iflix, dengan kerjasama Infinitus Productions dan pengarah tersohor Osman Ali, menyambung legasi filem Ombak Rindu dengan pembikinan drama 4 bahagian bagi melengkapkan kisah cinta antara Hariz dan Izzah.

“Ombak Rindu masih merupakan drama romantik yang paling disebut-sebut di Malaysia.  Walaupun 8 tahun telah berlalu, peminat filem Ombak Rindu masih tertanya-tanya apakah kesudahan kisah cinta di antara Hariz dan Izzah.  

“Kami sangat teruja untuk menyempurnakan tanda tanya para peminat di luar sana dengan olahan yang lebih moden, lakonan hebat dan dipersembahkan melalui idea kreatif pengarah Osman Ali.  

“Nantikan lokasi yang lebih memukau, kisah romantik lebih hebat dan jalan cerita yang penuh kejutan…ini bukanah drama TV yang biasa-biasa,” kata Mark Francis selaku Ketua Pegawai Konten iflix. 

Pengarah tersohor negara, Osman Ali yang mengarahkan Ombak Rindu The Series berharap drama bersiri 4 bahagian ini dapat menambat hati peminat dengan dengan memberi mereka pengalaman baru melalui adaptasi novel romantik paling epik dengan pendekatan dan wajah-wajah baru seperti Remy Ishak, Izara Aishah, Datin Diana Danielle, Hanna Aqeela dan Uqasha Senrose.

“Melihat pada fenomena yang dicetuskan oleh filem Ombak Rindu, kami amat berharap penonton akan seronok dan teruja apabila menonton Ombak Rindu The Series dimana kami merasakan yang ianya cukup rencahnya dari segi pelbagai elemen yang dipaparkan – cinta, hasad dengki, dendam, cemburu, kebaikan, keinsafan dan kekeluargaan,” ujar Gayatri Su-Lin Pillai, Penerbit Eksekutif Infinitus Productions. 

Kredit Foto: Instagram @izaraaishahofficial & @iflixmy