“Saya reda dengan keputusan ini,” kata penyanyi Akim yang mengulas apabila dua protegenya gagal mara ke konsert final Mentor Milenia 2019, Ahad ini.

Kata Akim, meskipun anak didiknya tidak mara ke pentas akhir, dia melihat potensi besar dalam diri Shareel Lopes.

“Banyak ilmu yang sudah dipelajari. Pencapaian dia sudah cukup baik walaupun mara ke peringkat separuh akhir sahaja.

“Buat protege lain, saya ucapkan tahniah dan selamat berjuang di konsert akhir nanti,” katanya yang tidak sabar untuk menonton kesemua persembahan nanti.

Konsert akhir Mentor Milenia bakal menyaksikan empat protege antaranya Aedy Kama, Daus Husny, Apex Tajudin dan Rika Riana berentap.

Minggu terakhir, finalis perlu melakukan dua persembahan iaitu solo dan duet bersama mentor mereka.

Juara Mentor Milenia 2019 akan memenangi RM100,000 berserta trofi. Pemenang juga berpeluang menghasilkan lagu debut ciptaan salah seorang komposer ternama tanah air lengkap berserta video muzik serta dijadikan OST drama di TV3.

Selain itu, pemenang akan diberi waktu promosi televisyen dan radio bernilai RM500,000 serta dokumentari pendek kisah mereka sepanjang menjayakan Mentor Milenia untuk disiarkan di saluran YouTube TV3.

Jangan lupa tonton pentas akhir Mentor Milenia 2019 pada Ahad ini jam 9 malam di TV3!