Pelakon hebat yang mencipta nama dari zaman 90an, Jasmiah Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Jasmin Hamid ini masih aktif berlakon sehingga kini.
Terbaharu, beliau digandingkan dengan penyanyi lagu Pematah Hati, Nabila Razali dalam satu drama bersiri bertajuk Pesan Pada Hati, arahan terakhir Allahyarham Raja Ahmad Alauddin yang turut menampilkan Shukri Yahaya dan Chacha Maembong sebagai tunggak utama.
Jasmin memuji sikap dan komitmen yang diberikan penyanyi itu kerana menurutnya ada segelintir pelakon baru yang bersikap seperti acuh tak acuh di lokasi penggambaran.
“Dia pandai membawa diri, walaupun bermula dalam industri hiburan sebagai penyanyi. Dia langsung tidak menunjukkan sikap diva.
“Sebagai pelakon, kami bekerja tidak ubah seperti sebuah keluarga dan perlu bergaul untuk mendapatkan keserasian. Hanya dari situ, baru ada ‘rasa’ apabila berlakon bersama-sama.
“Pelakon tidak boleh buat hal masing-masing kerana nanti apabila masuk set, keras dan kaku. Pelakon perlu jujur dengan watak dan bukan hanya ‘syok sendiri’ kerana menzahirkan karakter tida memerlukan populariti, sebaliknya keikhlasan.
“Dengan sikap positif yang dimilikinya itu, saya percaya Nabila akan terus berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Sebelum ini, Jasmin pernah meluahkan rasa kesalnya dengan sikap segelintir pelakon baharu yang terlalu sibuk dengan media sosial di lokasi penggambaran sehingga menjejaskan kualiti kerja mereka. Jasmin juga menasihatkan pelakon generasi baharu supaya lebih serius dan fokus kepada kerjaya dan tidak terlalu ghairah mengumpul pengikut di media sosia.
Drama bersiri Pesan Pada Hati terbitan Pena Creative Pictures ini akan menemui penonton menerusi slot Lestary di TV3.