Jerebu makin berleluasa dan IPU makin naik mendadak. Jerebu bukan setakat situasi yang menyebabkan sakit dada, susah bernafas akibat udara tercemar tetapi juga boleh mengakibatkan kematian. Apa kata jom baca artikel tentang punca jerebu yang dikongsi oleh Hello Doktor:

Apa rasanya kalau bangun pagi dan diselubungi kabus? Pasti rasa segar dan nyaman, bukan? Tapi, bagaimana pula kalau bangun pagi dan diselubungi jerebu? Alamak! Tak seronok langsung. Pemandangan jadi terhad dan paling tak ‘best’ bila jerebu makin teruk menyebabkan segala aktiviti luar, terpaksa dihadkan.

Itulah keadaan yang kita alami sekarang ini. Berjerebu. Malahan sehingga jam 7 pagi tadi (17 September 2019), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa tempat menunjukkan paras bacaan yang mengejutkan. Antara beberapa tempat yang mempunyai IPU tinggi adalah:

  • Manjung, Perak – 170
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya – 178
  • Nilai, Seremban – 196
  • Port Dickson, Seremban – 207
  • Rambai, Melaka – 189
  • Johan Setia Klang, Selangor – 232
  • Klang, Selangor – 192
  • Sri Aman, Sarawak – 359
  • Kuching, Sarawak – 218

Punca jerebu

Masalah jerebu di Asia Tenggara dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia dan sukar dikawal terutamanya sewaktu cuaca kering dan panas. Walau bagaimanapun, selain berpunca daripada kebakaran tersebut, keadaan ini juga dipercayai berlaku disebabkan oleh faktor perubahan musim, iaitu Monsun Barat Daya yang sedang berlaku.

Untuk pengetahuan umum, cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac.

Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering. Tempoh peralihan di antara dua monsun ini dikenali sebagai musim perantaraan monsun.

Setiap tahun terjadi

Kalau diikutkan, ini bukanlah kali pertama ruang udara Malaysia ‘dicerobohi’ jerebu. Tahun 1983 merupakan tahun pertama cuaca ‘berasap’ ini melanda negara. Kemudian, diikuti pada tahun 1991, 1994, 1997, 2005, 2006, 2013, 2015 dan selepas itu boleh dikatakan setiap tahun Malaysia berjerebu.

Keadaan ini boleh dikira sebagai satu bentuk pencemaran udara. Ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia. Malahan, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menamakan pencemaran udara sebagai risiko kesihatan alam sekitar terbesar di dunia.

Nantikan artikel lain untuk amalan kesihatan sewaktu jerebu ya!

Gambar; Bernama