Ogos dan September masing-masing bulan paling popular bagi perkahwinan orang Islam dan orang bukan Islam pada 2018, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Bulan Mei mencatatkan perkahwinan terendah bagi orang Islam manakala April bagi orang bukan Islam, katanya dalam satu kenyataan berhubung penerbitan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian, Malaysia, 2019.

Laporan itu membentangkan statistik perkahwinan dan perceraian mengikut negeri, daerah pentadbiran, jantina, kumpulan umur dan etnik di Malaysia pada tahun 2017 dan 2018

Mohd Uzir berkata, bilangan perkahwinan meningkat 1.2 peratus kepada 206,253 pada 2018 berbanding 203,741 pada 2017.

Kadar perkahwinan kasar mencatatkan peningkatan daripada 7.5  pada 2017 kepada 7.6 pada 2018 bagi setiap 1,000 penduduk Islam, katanya.

Mohd Uzir berkata umur penengah bagi pengantin lelaki dan perempuan kekal masing-masing pada umur 28 dan 26 tahun pada 2018.

Bilangan perceraian meningkat 0.1 peratus daripada 50,314 pada 2017 kepada 50,356 pada 2018.

Kadar perceraian kasar pula kekal pada 1.6 bagi setiap 1,000 penduduk, katanya.

Sumber : Bernama