Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas ketam “King Crab” dari Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam kerana dibawa masuk tanpa permit import dan sijil kesihatan.

Pengarah MAQIS Selangor/Negeri Sembilan Dr Tarmisal Alimin berkata ketam seberat 40 kilogram bernilai RM8,300 itu ditemui dalam dua kotak ais hasil pemeriksaan terhadap seorang wanita warga Korea Selatan di balai ketibaan KLIA pada kira-kira 11.45 malam.

Beliau berkata perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian seperti King Crab tanpa permit import yang sah daripada Maqis menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“King Crab tersebut dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri. Ia dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil kesihatan daripada negara asal, serta akan dilupuskan mengikut  prosedur operasi standard (SOP), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumber : Bernama