Penggunaaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam akan membantu meningkatkan keberkesanan tugas mereka yang berdepan dengan orang ramai secara bersemuka.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan langkah itu satu perkara yang baik.

“Saya dimaklumkan… bahawa ini telah digunakan di banyak negara. Ia bukan bertujuan mencari salah pihak penguatkuasaan sama ada polis, imigresen atau kastam,” katanya.

Beliau mengulas persetujuan kerajaan berhubung penggunaan kamera badan itu yang dinyatakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada Khamis.

Muhyiddin berharap langkah itu diterima baik di pihak pegawai penguat kuasa berkenaan.

Beliau seterusnya berkata agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)  akan meneliti perkara itu.

“Dan kita akan bawa balik ke pihak kerajaan, kabinet untuk menimbang bagaimana ia nak dilaksana, bila dilaksana,” katanya.

“Ia pasti melibatkan kos yang banyak. Apa yang bagusnya ialah Perdana Menteri sendiri yang memaklumkan perkara itu, mungkin beliau akan memberikan sokongan kepada kita (dalam soal penyediaan peralatan),” kata Muhyiddin- BERNAMA