Malaysia telah kehilangan badak sumbu sumatera terakhir berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya sejak Mac 2014.

Iman, badak sumbu Sumatera terakhir negara ini telah mati pada 5.35 petang tadi, lapor Jabatan Hidupan Liar Sabah seperti dipetik Bernama.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, pasukan perubatan yang diketuai Dr Zainal Zahari Zainuddin di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin berkata, masalah ketumbuhan di uterus haiwan berkenaan semakin memburuk sejak ia dikesan lima tahun lalu sehingga menyukarkan usaha untuk membuangnya.

“Masalah ketumbuhan pada uterus Iman didapati semakin membesar, sejak ia dikesan pada Mac 2014, manakala usaha untuk membuang ketumbuhan itu juga amat berisiko tinggi.

“Berat Iman juga menyusut kepada 476 kilogram kerana pemakanannya tidak normal dan terpaksa diberikan makanan tambahan, bagi menampung keperluan kesihatannya,” katanya pada sidang media di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu lalu.

Situasi Iman serupa dengan Puntung (Badak Sumbu Sumatera) yang terpaksa dimatikan selepas menghidap kanser yang membuatkannya menanggung kesakitan berpanjangan akibat percambahan sel kanser yang melarat, katanya.

Sebelum ini, Christina berkata kerajaan Sabah akan mengekstrak telur badak sumbu berkenaan (Iman) untuk disenyawakan dengan sperma badak sumbu sumatera di Indonesia melalui prosedur persenyawaan in vitro setelah melakukan proses perundangan dengan negara tersebut.

Sumber: BERNAMA