“Ala…kau ni, orang lain pun ada masalah. Tapi takda la sampai jadi macam kau. Termenung tak tentu pasal, tak boleh tidur, tak mahu makan, ish mengadalah,” 

Guys, hati-hati bila berkata. Lain individu lain cara penerimaannya terutama bila berdepan dengan masalah. Bukan semua orang mampu mengawal masalah dengan rasional. Harus tahu, manusia di setiap peringkat umur sebenarnya terdedah kepada masalah kemurungan.

Jika dibiarkan berterusan, kemurungan boleh membawa maut. Pesakit boleh bertindak di luar jangkaan. Perhatikan ahli keluarga atau rakan anda, adakah mereka mengalami perubahan tingkah laku yang luar daripada kebiasaan?

Kenali Distimia.

Distimia merupakan sejenis penyakit yang diklasifikasikan dibawah gangguan unipolar iaitu kemurungan ringan yang dialami dalam tempoh berterusan.

Ia mungkin dikategorikan sebagai penyakit yang kurang ‘serius’ jika dibandingkan dengan kemurungan klinikal yang jauh lebih berbahaya, namun tetap berbahaya!

Individu yang mengalami Distimia juga mempunyai risiko untuk menghadapi kemurungan lebih kronik di mana berlaku kemurungan sederhana menyerang setiap masa yang mana mereka cenderung mengalami kemurungan teruk.

Golongan jantina yang dikatakan kerap mengalami penyakit Distimia adalah wanita. Ia dirumuskan sebagai gabungan daripada faktor biologi, psikologi dan juga sosio-budaya. Genetik juga dikenal pasti sebagai antara faktornya, namun kebanyakan individu yang mengalami kecelaruan distimia tidak mempunyai sejarah penyakit ini di dalam keluarga.

Tanda Distimia

Individu yang mengalami Distimia kerap menggambarkan mereka berada di dalam kesedihan. Semasa perubahan itu, sekurangnya dua dari tanda ini boleh dikesan:

Kurang selera makan atau makan berlebihan 

Gangguan tidur/ masalah tidur malam atau tidur berlebihan

Kurang tahap tenaga kecerdasan

Kurang tumpuan atau kesukaran membuat keputusan

Kurang keyakinan diri

Perasaan putus asa / rasa tidak berguna 

Justeru itu, adalah amat penting untuk kita alert dengan sikap atau perubahan di kalangan ahli keluarga yang mengalami perubahan secara fizikal, emosi, pemikiran dan juga kelakuan. Kamu sebagai ahli keluarga perlu belajar cara berkomunikasi yang kena dengan caranya dan bukannya terus menyalahkan pesakit.