Facebook merancang membina ekosistemnya sendiri untuk peranti pengguna video dalam tempoh lima tahun akan datang
Buat permulaan, gergasi media sosial ini dijangka melancarkan dua model speaker pintar yang diberi nama Fiona dan Aloha pada bulan Julai depan.
Kedua-dua model berkenaan akan tampil dengan panel skrin sesentuh 15 inci keluaran daripada LG Display manakala Pegatron Taiwan dikatakan sebagai penghimpun kontrak tunggal peranti terebut.
Begitu pun, kedua-dua firma berkenaan enggan mengulas lanjut berhubung sebarang informasi berkaitan pelanggannya.
Pengeluaran speaker pintar ini direka sekali ganda lebih besar berbanding speaker pintar keluaran pesaingnya dengan fungsi seperti perbualan video, sokongan arahan suara dan ciri-ciri lain yang bermanfaat untuk komunikasi rangkaian sosial.
Di antara kedua model berkenaan, Aloha direka lebih sofistikated daripada Fiona kerana ia bukan sahaja menggunakan arahan suara tetapi turut mempunyai fungsi pengiktirafan muka bagi mengenal pasti pengguna facebook melalui lensa sudut lebar yang dipasang di bahagian hadapan peranti.
Berdasarkan daripada laporan Digitimes, kajian mendapati jualan pasaran global bagi speaker pintar berkemungkinan meningkat sehingga lebih 50 juta unit tahun ini berbanding tahun lalu.
Pasti kehadiran peranti dari Facebook ini dinanti-nantikan pengguna yang dahagakan inovasi terbaharu dalam dunia teknologi digital yang pesat membangun dewasa ini.