Google pada hari ini sudah tidak lagi menjual peranti Google Pixel pertama mereka. Ini dapat dilihat apabila Google telah memindah keluar sebarang iklan atau maklumat berkenaan Google Pixel dan Pixel XL dari kedai atas talian mereka, Google Store. Perkara ini dikaitkan dengan kurangnya permintaan terhadap dua peranti tersebut sejak Google Pixel 2 dan Pixel 2 XL dilancarkan.

Tambahan pula, terdapat ura-ura bahawa Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL akan diumumkan lebih awal dari yang dijangka. Walaubagaimanapun, belum ada sumber yang kukuh berkenaan kenyataan ini.Sebelum ini, terdapat laporan bahawa peranti terbaru Google itu bakal dilancarkan pada Oktober tahun ini.  Untuk pengetahuan semua, Google Pixel dan Google Pixel 2 juga sebelum ini dilancarkan pada bulan yang sama pada tahun 2016 serta 2017.

Peranti Google Pixel ini telah menjadi pemangkin kepada perubahan model perniagaan Google, yang mana sebelum ini lebih fokus kepada pembangunan perisian yang kemudiannya mula menghasilkan beberapa perkakasan peranti seperti Google Pixel, Pixel Buds dan komputer riba Pixelbook. Google Pixel telah dijual pada harga sekitar RM 3,799 dan RM 4,499 di Malaysia sewaktu awal pelancarannya dahulu.

 

Dalam pada itu, terdapat juga laporan bahawa Google sedang membangunkan sebuah lagi telefon pintar tetapi ia merupakan peranti dalam kelas pertengahan. Akan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada peranti tersebut akan berada di bawah jenama Pixel atau tidak kerana sebelum ini pihak Google ada memaklumkan bahawa jenama Pixel akan terus menjadi jenama premium.

Sumber