Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memaklumkan, pihak mereka sedang berusaha memastikan lebih ramai golongan isi rumah berpendapatan rendah B40, menerima set dekoder siaran televisyen digital secara percuma.

KKMM memaklumkan, perbincangan bersama syarikat pengedar dekoder itu masih dalam peringkat rundingan serta KKMM juga masihmengumpulkan lebih banyak maklumat bagi menentukan individu yang layak menerimanya.

Ia dimaklumkan sendiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika menjawab soalan yang dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini.

Siaran televisyen tempatan termasuklah TV1, TV2 dan TV3 sudah pun memulakan proses peralihan daripada teknologi analog kepada digital secara berperingkat.

Setakat 14 Okt lalu, MYTV telah pun selesai mengagihkan lebih daripada 1.5 juta dekoder percuma kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).  Terdapat lagi baki 500 ribu dekoder percuma akan diagihkan secara berperingkat kepada mereka yang layak.

Berkenaan dengan isu penjualan dekoder tanpa lesen pula, Menteri memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Kami anggap (penjualan dekoder secara haram) tidak adil kepada syarikat yang melabur pada kos yang tinggi bagi mendapatkan lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP),” Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Katanya lagi, lesen tersebut diberikan untuk menjalankan perkhidmatan aplikasi kandungan seperti penyiaran TV secara digital, protokol Internet mahupun satelit dan radio terestrial.

Beliau turut memaklumkan, setakat ini terdapat sebanyak 54 buah syarikat telah dianugerahkan lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP).

Sumber: BERNAMA