Ketika seluruh dunia sedang bersiap sedia untuk menggunakan perkhidmatan kelajuan internet 5G, China sudah memandang lebih kehadapan dengan memikirkan rangkaian penyambungan tanpa wayar terbaru iaitu 6G.

Kementerian Sains dan Teknologi China mengumumkan pada 6 November lalu bahawa ia telah membentuk dua pasukan untuk melakukan penyelidikan dan kajian 6G. Satu pasukan terdiri daripada jabatan kerajaan yang akan bertanggungjawab menerusi pelaksanaan teknologi 6G, manakala yang lain terdiri daripada 37 pakar dari universiti, institusi sains dan perusahaan yang akan memberikan nasihat teknikal untuk keputusan utama kerajaan pada 6G.

5G dan 6G adalah merujuk kepada generasi kelima dan keenam rangkaian tanpa wayar. Walaupun telah diketahui 5G mempunyai kelajuan data sekurang-kurangnya 10 kali ganda lebih besar daripada 4G, masih terlalu awal untuk mengetahui apa yang boleh diberikan oleh 6G.

Kementerian di China juga berkata ia bertekad untuk meletakkan asas bagi pembangunan 6G. Teknologi itu juga harus dianggap sebagai keutamaan pada tahap yang terpenting untuk pembangunan negara. Kementerian akan memulakan draf pelan untuk membangunkan 6G serta meneroka aplikasi teknologi yang sesuai.

Sumber: Gadgetnow.com &  Quartz