Dalam hidup, harus tanamkan sifat sabar yang menebal dalam diri. Contohnya bila orang hon dari belakang, janganlah kita terus memaki hamun secara melulu. Ingat, banyak mata memandang, telinga yang mendengar! Lebih-lebih lagi sekarang ni kuasa viral hanya di hujung jari. Berfikir dengan rasional ok?

Angkara memotong barisan ketika menimbang kelapa sawit, seorang lelaki ditikam di bahagian lengan, belakang dan dada kanan. Aduhai, sampai begitu sekali marahnya…

Kejadian berlaku di Kampung Ulu Sapi, Jalan Sapi-Nangoh, Beluran, mangsa berusia 30 tahun sedang bertengkar dengan suspek berusia 20-an.

Kedua lelaki ini bekerja sebagai pemandu jentera berat mengangkat kelapa sawit. Difahamkan mereka bertengkar sehari sebelum berlakunya kejadian.

Mangsa dikatakan memotong barisan ketika mereka sedang menimbang hasil kutipan kelapa sawit.

Bengang dengan tindakan mangsa, suspek dipercayai menghendap gerak-geri lelaki itu sehingga ke lokasi kejadian sebelum menyerangnya.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V. Shivananthan mengesahkan mengenai kejadian terbabit.

“Suspek ditahan pukul 4.30 petang semalam bagi membantu siasatan,” jelasnya memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.