Berapa banyak yang akan anda belanjakan untuk jamban? Bagi orang kaya di China , jawapannya ialah 1 juta Pound sterling (RM 5 juta).

Sebuah jamban mewah yang dilengkapi dengan ciri kalis peluru serta bertatahkan lebih daripada 40 ribu butir berlian telah dipamerkan di ekspo perdagangan yang berlangsung di Shanghai.

Jamban tersebut bernilai kira-kira £ 999,497 (RM 5,329,813.00), menurut pembuatnya dari Hong Kong.

Emas yang menyaluti jamban tersebut telah dihasilkan oleh Coronet, sebuah jenama yang dimiliki oleh syarikat barangan perhiasan Hong Kong Aaron Shum.

Menurut penghiasnya, jamban tersebut diperbuat daripada kaca kalis peluru serta turut dilengkapi dengan 40.815 butir berlian yang seberat 334.68 karat.

Aaron Shum yang juga pengasas jenama tersebut, walau bagaimanapun enggan mendedahkan bahawa sama ada produknya itu telah berjaya menarik mana-mana pembeli yang berpotensi.

Sungguhpun begitu, dia memberitahu pada media tempatan bahawa dia sebenarnya berasa berat hati untuk menjual jamban tersebut.

“Kami ingin membina satu muzium berlian supaya ramai orang boleh menikmati hasil sentuhan kami,’ katanya.

Pengeluar jamban tersebut sedang cuba untuk memecahkan rekod dunia Gunniess bagi jamban yang paling banyak dihiasi dengan berlian.

Jika penyertaan tersebut berjaya, ianya akan menjadi cubaan Rekod Dunia Guinness yang ke-10 untuk Encik Shum dengan seni barangan perhiasannya.

Encik Shum sebelum ini pernah menghasilkan sebuah gitar yang dihiasi dengan berlian seberat 400 karat yang dianggarkan bernilai 1.5 juta Pound sterling (RM 8 juta), serta sepasang kasut tumit tinggi yang dihiasi dengan 10,000 butir berlian merah jambu yang dianggarkan bernilai 3.3 juta Pound sterling (RM 17.5 juta).

Kedua-dua barangan tersebut turut dipamerkan di Ekspo Import Antarabangsa Kedua China yang berlangsung di Shanghai.

Sumber: Daily Mail