Featured By: Yanie Baharom April 9, 2020 @ 7:00pm

Yang di-Pertuan Agong, keluarga bebas COVID-19, rakyat lahirkan rasa syukur!

Sewaktu mendapat perkhabaran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, terpaksa menjalani kuarantin berikutan Sembilan petugas istana disahkan positif COVID-19, seluruh rakyat jelata melahirkan kebimbangan.

Hari ini rakyat Malaysia melahirkan rasa kesyukuran apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selesai menjalani kuarantin diri selama 14 hari dan hasil ujian dijalankan mendapati Seri Paduka berdua disahkan bebas COVID-19.

Bernama melaporkan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka berdua dan ahli keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat serta menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas doa dan keprihatinan semua terhadap kesejahteraan dan kesihatan Seri Paduka sekeluarga.

Seri Paduka berdua dan keluarga menjalani kuarantin diri di Istana Negara seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan pengesahan beberapa kakitangan Istana Negara positif COVID-19, dua minggu lalu.

“Berikutan kes-kes positif itu, sejumlah 116 kakitangan Istana Negara turut diarah oleh KKM menjalani saringan dan kuarantin diri selama 14 hari yang juga berakhir pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah yang amat prihatin terhadap perkembangan terkini wabak COVID-19, mengulangi titah agar rakyat mematuhi semua nasihat dan perintah yang dikeluarkan KKM dan pihak berkuasa, khususnya perintah kuarantin diri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seri Paduka turut menzahirkan perasaan amat sedih kerana masih ada rakyat Malaysia yang ingkar PKP atas kepentingan diri sendiri, menyebabkan peningkatan kes COVID-19 positif dan pertambahan kawasan zon merah.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu meratakan lengkungan jangkitan COVID-19 ini dengan terus berada di rumah.

“Jika perlu keluar untuk membeli barang keperluan, pakailah penutup hidung dan mulut serta amalkan penjarakan sosial,” katanya.

Sedikitpun tidak melupakan pengorbanan dan perjuangan wira dan wirawati di barisan hadapan negara, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada KKM, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira penat lelah.

Peratusan tinggi pesakit COVID-19 yang pulih dan kes kematian di Malaysia yang rendah membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tatacara pengendalian wabak antara yang terbaik di dunia.

Foto: Info

Foto: ISMAweb

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama berdoa memohon ihsan Allah SWT semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya dan wabak ini diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Wed, 10 Aug 2022
Featured Wed, 25 Sep 2019

Pakai kosrset memudaratkan kesihatan? Ini jawapan Kevin Zahri!

Pakai korset beriya, makan tak dijaga macam nak kurus tu sis?

Featured Wed, 7 Dec 2022
Featured Sun, 25 Nov 2018

Selfie Telah Menyebabkan 259 Kematian, Para Saintis Cadangkan ‘No-Selfie Zone’

Ketahui tentang kes-kes kematian yang disebabkan oleh selfie.

Featured Thu, 8 Sep 2022
Featured Wed, 14 Dec 2022