Artikel disediakan oleh Hidayah Mohammad ([email protected])

Baru-baru ini, heboh di media sosial apabila artis Korea terkenal, Go Ara, tampil dalam satu majlis hiburan dengan mengenakan baju kurung!

Pelakon yang juga model terkenal dari Korea Selatan itu . Go Ara, 28, mengenakan koleksi kurung moden itu pada majlis Anugerah SBS Drama Award 2018, baru-baru ini. 

Difahamkan, acara dianjurkan syarikat stesen televisyen dan radio, Seoul Broadcasting System (SBS) itu berlangsung meriah di SBS Prism Tower, menjelang ambang tahun baharu 2019. 

Seperti selebiriti lain, pelakon terkenal berusia 28 tahun itu juga tidak ketinggalan memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram. Gambar itu dirakam di pentas utama acara permaidani merah.

Beliau menggayakan koleksi baju kurung rona krim atau pic lembut yang dihasilkan daripada beberapa gabungan fabrik. Rekaan kurung potongan tradisional itu tampak moden apabila digayakan Go Ara.

Menonjolkan elemen segar dengan taburan bunga bersaiz sederhana kecil yang menggunakan fabrik renda menghiasi bahu dan tampak lebih menyerlah pada bahagian kaki baju kurungnya.

Hijab&Heels tidak dapat mengenal pasti pereka fesyen busana eksklusif yang digayakan anak kelahiran Jinju, Gyeongsag Selatan itu kerana tidak dinyatakan oleh pelakon berkenaan.

Tampil ringkas tanpa sebarang aksesori sarat, ternyata, kehadiran Go Ara dengan rambut panjang yang dibiarkan lepas mengurai, lebih menawan hingga berjaya memukau pandangan ramai.

Penampilannya mendapat perhatian netizen di Malaysia terutama dalam kalangan peminat tegar dunia hiburan K-Drama.

Rata-rata peminat Malaysia mengagumi dan bangga dengan keberanian Go Ara yang tampak anggun dan sopan dengan busana wanita Melayu.  

Beberapa peminat dari tanah air, Norazleensuratman berkata “You’re so beautiful..The dress resemble our Malaysian Malay women outfit ‘Baju Kurung’
(Anda nampak cantik.. Pakaian ini menyerupai pakaian wanita Melayu Malaysia ‘Baju kurung’) 

Unphepcha_eonie : “She’s wearing baju kurung… Very very nice… (Dia memakai baju kurung.. Sangat sangat cantik) 

Princesswawa_28 : “In Malaysia this dress we called it ‘baju kurung’. Proud to be Malaysian.. heehhe” (Di Malaysia kita memanggilnya ‘baju kurung’ Bangga menjadi rakyat Malaysia)