Kanak-kanak dengan tabiat menggigit kuku, bukanlah perkara aneh namun perbuatan itu tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Tabiat ini bukan saja boleh menyebabkan kulit jari terkelupas dan berdarah, malah boleh memberi implikasi kepada kesihatan.
Misalnya, anak anda akan terdedah dengan risiko keracunan ekoran kotoran yang melekat pada kuku ketika anak-anak bermain sama ada di dalam rumah mahupun di luar rumah.
Sebagaimana diketahui umum, kuku merupakan tempat berkumpulnya pelbagai kuman dan bakteria. Bakteria yang sering terdapat pada lapisan kuku merupakan bakteria keluarga ‘enterobacteriaceae’ yang merangkumi bakteria E.coli mahupun bakteria salmonella.
Perkembangan bakteria ini berlaku secara aktif dicelah-celah kuku. Malah, ia juga boleh menyebabkan beberapa kesan yang buruk. Nak tahu jenis implikasi atau penyakit yang boleh dialami anak anda, informasinya dilampirkan di bawah ini.
1. Cirit-birit
Ketika anak anda menggigit kuku, bakteria-bakteria berbahaya akan berpindah dari kuku ke mulut dan akan menuju ke usus.
Tabiat menggigit kuku dalam kalangan kanak-kanak sememangnya dapat memberikan kesan buruk pada kesihatan mereka.
Bakteria yang menyebar sampai ke usus akan menyebabkan infeksi yang biasanya menyebabkan terjadinya penyakit seperti sakit perut serta cirit-birit.
2. Jangkitan Sekunder
Kebanyakan orang tidak kira sama ada kanak-kanak mahupun dewasa, biasanya akan gigit dan koyakkan sekali kulit sekitar kuku sekaligus menyebabkan luka teruk pada permukaan kulit. Apabila ianya terdedah, maka jangkitan mudah berlaku malah bakteria dapat merebak dengan begitu pantas ke dalam sel darah dan bahagian dalaman badan yang lain.
3. Selsema
Menggigit kuku dapat meningkatkan risiko kepada penyakit seperti selsema kerana membiarkan tangan yang kotor masuk ke dalam mulut.
4. Kesihatan Gigi
Kebiasaan menggigit kuku juga akan mengganggu kesihatan gigi. Gigi akan bergeser dari tempat semulanya dan juga dapat berpotensi untuk menyebabkan gigi patah atau merosakkan lapisan gigi.
5. Infeksi Kulit
Di samping itu, kanak-kanak yang kerap menggigit kuku juga berisiko untuk mengalami ‘paronychia’ atau infeksi kulit di sekitar kuku. Hal ini ditunjukkan dengan adanya warna kemerahan atau pembengkakan serta rasa sakit di bahagian kulit kuku.
6 Tips Elak Anak Menggigit Kuku
1. Beri amaran secara lembut.
Semasa si kecil mulai untuk menggigit kukunya, anda perlu memberi amaran untuk menghentikan aktiviti atau memberikan isyarat khusus misalnya dengan geleng kepala supaya si manja tidak berasa dipermalukan.
2. Alih perhatian.
Memberikan si kecil objek untuk alih perhatiannya seperti bola kecil, gelung, permainan doh atau mainan yang bersesuaian.
3. Potong kuku
Menjaga agar kuku si kecil selalu pendek. Kuku yang panjang tidak boleh dibiarkan dan harus dipotong supaya anak tidak akan menggigit kukunya.
4. Sibukkan mulut anda juga
Tips yang ini sesuai untuk golongan dewasa yang tak boleh ‘move on’ tabiat menggigit kuku. Menguyah gula-gula getah boleh mengalih perhatian anda yang suka menjadikan kuku kudap-kudap!
5. Balut dengan handy plaster
Pakai handy plaster antara solusi paling bijak untuk mematikan selera anak-anak yang gemar menggigit kuku. Rasa handy Plaster memang tak enak langsung!
6. Pakai inai
Pemakaian inai bukan saja boleh memulihkan kulit yang rosak malah baunya juga mematikan nafsu anak-anak untuk menggigit jari-jemari mereka sendiri!