Sihat By: Ad Ops August 23, 2018 @ 9:00am

10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu yang Berjaya

Penyusuan susu ibu adalah cara utama menyediakan bayi dengan nutrien yang mereka perlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan yang sihat. Hampir semua ibu boleh menyusu badan, dengan syarat mereka mempunyai maklumat yang tepat dan sokongan keluarga, sistem penjagaan kesihatan dan masyarakat.

Kepentingan penyusuan susu ibu

Penyusuan badan adalah cara terbaik untuk menyediakan bayi dengan nutrien yang diperlukan. Bahkan kolostrum, bentuk awal susu ibu dikenali sebagai ‘vaksin pertama’ kerana sangat kaya dengan nutrien dan antibodi. WHO mengesyorkan penyusuan eksklusif bermula dalam masa satu jam selepas lahir sehingga bayi berumur 6 bulan. Makanan pelengkap yang sihat kemudiannya akan ditambah di samping penyusuan badan sehingga 2 tahun atau lebih.

Susu badan dikaitkan dengan pengurangan risiko pelbagai masalah kesihatan bayi, daripada masalah perkembangan neurologi hinggalah kepada diabetes. Menurut UNICEF, ‘bayi yang menyusu secara eksklusif adalah 14 kali ganda lebih rendah berkemungkinan mati dalam enam bulan pertama berbanding bayi yang tidak menyusu badan’.

Penyusuan badan secara menyeluruh di negara berpendapatan rendah dan sederhana boleh mencegah kematian kira-kira 823,000 kanak-kanak di bawah usia dua tahun, menurut satu kajian oleh Australian National University. Penyusuan badan juga memberi manfaat kepada para ibu, dengan kesan signifikan dalam mengurangkan risiko kanser payudara.

10 langkah ke arah penyusuan susu ibu yang berjaya

Tahukah anda, WHO dan UNICEF melancarkan Inisiatif Hospital Mesra Bayi untuk membantu menggalakkan penyediaan persekitaran yang melaksanakan 10 Langkah ke arah Penyusuan Susu Ibu yang Berjaya. 10 langkah ini meringkaskan dasar dan prosedur yang patut disediakan di mana-mana fasiliti ibu bersalin dan bayi baru lahir.  Mengetahui 10 langkah ini membantu anda mengetahui hak anda sebagai ibu menyusu.

1. Prosedur pengurusan kritikal

– Mematuhi sepenuhnya Kod Pemasaran Antarabangsa Pengganti Susu Ibu dan resolusi Perhimpunan Kesihatan Dunia yang berkaitan.

– Mempunyai polisi makan bayi bertulis yang disampaikan kepada kakitangan dan ibu bapa secara rutin.

– Menubuhkan sistem pengawasan dan pengurusan data yang berterusan.

Polisi Hospital: Hospital menyokong penyusuan susu badan dengan cara tidak mempromosikan susu formula, botol atau puting. Menjadikan penjagaan penyusuan badan amalan utama dan mengawal selia sokongan kepada penyusuan badan.

2. Memastikan kakitangan mempunyai pengetahuan, kecekapan dan kemahiran yang mencukupi untuk menyokong penyusuan susu ibu.

Kompetensi Kakitangan: Hospital menyokong ibu menyusu badan dengan cara melatih kakitangan untuk memberikan sokongan kepada ibu menyusu serta menilai pengetahuan dan kemahiran kakitangan.

3. Membincangkan kepentingan dan pengurusan penyusuan susu ibu dengan wanita hamil dan keluarga mereka.

Penjagaan Antenatal: Anda dan keluarga akan diberikan maklumat tentang kepentingan dan cara pengurusan penyusuan badan.

4. Membantu sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan anak sesegera mungkin tanpa gangguan untuk memulakan penyusuan secepat mungkin selepas lahir.

Penjagaan Selepas Kelahiran: Menggalakkan sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi sejurus selepas kelahiran dan membantu ibu meletakkan bayi mereka ke payudara sesegera mungkin.

5. Menyokong ibu memulakan dan mengekalkan penyusuan susu ibu dan menguruskan kesukaran yang biasa berlaku.

Kakitangan hospital akan memeriksa kedudukan, keadaan bayi menekap dan menghisap. Memberikan sokongan penyusuan yang praktikal serta membantu para ibu dengan masalah penyusuan biasa.

6. Jangan berikan bayi yang baru lahir sebarang makanan atau cecair selain susu ibu, melainkan terdapat keperluan perubatan.

Hanya susu ibu dibenarkan untuk bayi melainkan terdapat sebab kesihatan, bahkan susu ibu lain diutamakan jika tambahan diperlukan. Jika susu formula diberikan, cara pemberian dengan selamat (penstrilan, penggunaan air panas dll) akan diterangkan.

7. Membolehkan para ibu dan bayi mereka berada dalam bilik yang sama 24 jam sehari.

Ibu dan bayi perlu sentiasa dibenarkan bersama termasuklah bayi yang sakit (dalam inkubator).

8. Menyokong ibu untuk mengenali dan memberi tindak balas kepada isyarat menyusu bayi mereka.

Penyusuan responsif: Hospital membantu para ibu mengenal pasti bila bayi mereka lapar serta tidak mengehadkan waktu ibu menyusu.

9. Menasihati para ibu mengenai risiko penggunaan botol susu, puting botol dan puting kosong.

Hospital menyokong penyusuan susu badan dengan menasihati para ibu tentang penggunaan dan risiko botol susu, puting botol dan puting kosong.

10. Menguruskan waktu keluar supaya ibu bapa dan bayi mereka mempunyai akses untuk sokongan dan penjagaan yang berterusan pada masanya.

Hospital menyokong ibu menyusu badan dengan merujuk para ibu kepada komuniti rujukan untuk sokongan ibu menyusu serta bekerjasama dengan komuniti untuk menambah baik sokongan kepada ibu menyusu.

Terdapat bukti bahawa pelaksanaan 10 langkah ini dapat meningkatkan kadar penyusuan susu ibu dengan signifikan. Kajian sistematik daripada 58 kajian mengenai rawatan selepas bersalin dan bayi yang baru lahir yang diterbitkan pada tahun 2016 menunjukkan dengan jelas bahawa pematuhan kepada 10 langkah ini memberi kesan kepada pemberian susu bayi selepas kelahiran, penyusuan eksklusif dan tempoh penyusuan susu ibu.

Penyusuan susu ibu: tanggungjawab sosial bersama

Kebanyakan ibu boleh menyusu badan dan susu formula hanya pengganti berguna untuk wanita yang tidak menghasilkan susu ibu yang mencukupi. Walau bagaimanapun, ia bukanlah pengganti yang ideal. Susu formula tidak dapat membekalkan manfaat yang sama dari segi pembinaan imuniti.

Kebimbangan utama bukanlah sama ada penyusuan susu badan boleh ditambah dengan susu formula, tetapi apa yang berlaku apabila susu formula menjadi pengganti susu ibu sepenuhnya. Apabila ibu menyusukan bayi mereka dengan susu formula semata, mereka akan berhenti mengeluarkan susu badan, menjadikannya mustahil untuk kembali menyusu. Ini menjadikan susu formula sangat bermasalah bagi para ibu yang tidak berkemampuan, yang mungkin tidak dapat membeli susu formula yang mencukupi, dan akhirnya mencairkan formula atau mengurangkan susu untuk bayi, yang kemudiannya menyebabkan kekurangan zat makanan.

Risiko kebergantungan kepada susu formula begitu membimbangkan sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menentang pengedaran susu formula walaupun dalam keadaan kecemasan seperti perang atau bencana alam. Sebelum ini adalah biasa bagi negara terlibat untuk menerima susu formula tetapi kini, piawai antarabangsa menolak bantuan tersebut dan sebaliknya memberi tumpuan kepada langkah untuk membantu wanita menyusu (seperti mewujudkan tempat yang selamat dan privasi untuk penyusuan). Amalan sedemikian mengurangkan risiko mencampurkan formula dengan air yang tercemar.

Bahkan dalam kes bayi yatim piatu, amalan ibu susuan digalakkan sebelum menggunakan susu formula. Pendekatan NGO seperti Nurture Project International telah membantu para ibu di kem-kem pelarian kembali menyusukan anak mereka dan tidak bergantung kepada susu formula.

Di sebalik kempen yang dijalankan secara global, hanya 40% bayi di seluruh dunia menyusu badan secara eksklusif selama 6 bulan. Lebih kurang 1 daripada 5 bayi di negara maju tidak pernah menyusu badan, berbanding hanya 1 daripada 25 bayi di negara berpendapatan sederhana dan rendah.

Oleh itu, para ibu mempunyai hak untuk sokongan kepada penyusuan badan dan dalam masa yang sama juga kita tidak wajar melemparkan stigma terhadap ibu yang menyusukan dengan susu formula. Sebaliknya, setiap ibu perlu diberikan maklumat dan sokongan yang sepatutnya tentang penyusuan badan. Ini termasuklah sokongan daripada pasangan, keluarga, masyarakat dan penjaga kesihatan mereka.

Sumber: Hello Doktor 

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Sihat Wed, 12 Sep 2018

Anak Anda Asma? Ajar Mereka Cara Menangani Serangan Asma

Anda boleh membantu anak anda mengelak serta mencegah serangan asma.

Featured Mon, 5 Nov 2018

Ini Penjelasan Saintifik Mengapa Menguap Boleh Berjangkit!

Cuba menguap sekarang sebelah rakan anda, boleh berjangkit atau tidak?

Featured Mon, 9 Dec 2019

Virus Polio kembali menyerang Malaysia, ketahui petanda & cara mencegahnya

Penyakit ini boleh menyebabkan kelumpuhan dan juga maut!

Featured Tue, 9 Jul 2019
Featured Mon, 13 Apr 2020

Pesakit COVID-19 tanpa gejala dan sporadik umpama bom jangka

Fasa tiga PKP penting bagi hentikan COVID-19

Featured Sat, 30 May 2020

2 negeri dalam Zon Hijau kembali catat kes baharu positif COVID-19

Jangkitan membabitkan warganegara Malaysia

Featured Wed, 7 Nov 2018

Ini Cara Gerenti Efektif Untuk Lancarkan Hidung Yang Tersumbat

Leceh betul bila ia berlaku sebab susah nak bernafas!

Featured Fri, 15 Jun 2018
Sihat Wed, 16 May 2018

5 Elemen Alam Dan Makanan Multiwarna Yang Bermanfaat Untuk Organ Dalaman

Makanan berasaskan lima warna ini iaitu merah, kuning, hijau, putih dan hitam dikatakan mempunyai kaitan dengan 5 elemen alam dan ia sangat bermanfaat untuk organ dalaman seseorang.