Sihat By: Yanie Baharom September 12, 2019 @ 10:00am

Bukan fizikal sahaja perlukan keregangan, mata juga perlu bersenam!

Mata kita dikawal oleh enam otot mata yang membantu dalam setiap pergerakan mata. Seperti otot-otot lain di dalam sistem tubuh kita, otot mata juga perlu melakukan senaman bagi memastikan otot-otot tersebut sihat dan kuat. Apabila otot mata kita sihat maka ia pasti dapat berfungsi dengan sempurna.

Seperti yang kita ketahui, aktiviti seperti berenang, berlari dan aktiviti di gimnasium mampu mengekalkan kesihatan tubuh badan. Tahukah anda bahawa kita juga boleh melakukan senaman terhadap mata?

Senaman mata akan menguatkan lagi otot-otot mata, menguatkan sistem penumpuan mata serta merangsang pusat penglihatan yang terdapat di otak.

Dalam banyak keadaan, senaman mata boleh dijadikan terapi fizikal untuk otak dan juga mata kita. Apabila kita melakukan senaman mata, senaman tersebut dapat membantu menguatkan lagi otot-otot mata dan secara langsungnya akan membantu meningkatkan daya fokus dan penglihatan.

Bagaimanakah senaman mata ini boleh dilakukan, jom ikuti teknik mudah ini.

Teknik 1 : Latihan Penumpuan – Penumpuan dekat dan jauh

Latihan ini dilakukan untuk meningkatkan fleksibiliti mata ketika menukarkan penumpuan daripada penglihatan jauh kepada penglihatan dekat dan sebaliknya. Latihan ini adalah bertujuan untuk menguatkan ketahanan otot mata yang berterusan di samping meningkatkan penglihatan secara keseluruhan.

Foto: Harian Metro

Kaedah latihan :

1. Apa yang perlu anda lakukan adalah duduk dengan tenang dalam bilik yang agak luas (sekurang-kurangnya 6 x 6m) sambil memegang sebatang pen/pensel.

2. Pegang pensel pada jarak enam inci (10cm) dari hidung anda. Pandang pensel selama dua hingga tiga saat dan seterusnya ubah pandangan kepada objek bertentangan di hujung bilik iaitu 10 – 20 kaki selama dua hingga tiga saat juga. Seterusnya ubah pandangan kepada pensel dihadapan mata untuk dua hingga tiga saat.

3. Ulang proses latihan ini sekurang-kurangnya sebanyak 10 pusingan latihan setiap hari. Untuk lebih meningkatkan tahap penumpuan, jarak fokus jauh boleh diubah kepada yang lebih jauh.

Teknik 2 : Latihan kerdipan mata – untuk mengurangkan keletihan mata

Foto: wienceabc

Kerdipan mata adalah cara paling mudah untuk mengekalkan kesegaran mata bagi membantu mata agar dapat menumpu dengan lebih lama. Kebanyakan pengguna komputer atau penonton televisyen kurang melakukan kerdipan mata yang penuh, terutamanya ketika penumpuan mereka berada pada tahap yang tinggi. Keadaan ini menjadikan mata cepat letih di samping simptom kekeringan mata yang lain.

Apabila kita melakukan kerdipan mata yang penuh, mata kita akan mengalami fasa gelap seketika yang mana fasa ini dapat membantu mengekalkan kesegaran mata. Di samping itu, fasa gelap bertindak seperti permulaan menerima maklumat penglihatan yang baru setiap kali selepas kita berkedip dan secara langsung mengurangkan ketegangan mata.

Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menutup mata rapat selama tiga hingga empat saat. Seterusnya buka mata anda selama iga hingga empat saat semula. Ulang latihan ini selama tujuh hingga lapan kali setiap kali anda mengalami keletihan mata ketika menggunakan komputer.

Teknik 3 : Teknik angka lapan – menguatkan otot mata

Latihan ini sangat sesuai bagi menguatkan otot-otot di sekeliling mata. Senaman mata ini dapat meningkatkan fleksibiliti otot mata menerusi kaedah atau teknik yang lebih santai.

Foto: MyHEALTH

Kaedah teknik ‘angka lapan’

1. Bayangkan terdapat angka lapan gergasi pada jarak tiga meter (10 kaki) di hadapan anda.

2. Bayangkan bahawa angka lapan tersebut berada dalam kedudukan terbalik seperti sepasang cermin mata.

3. Secara perlahan-lahan, cuba anda ikuti lakaran bayangan angka lapan tersebut menggunakan pergerakan mata anda tanpa menggerakkan atau mengubah kedudukan kepala anda.

4. Lakukan latihan ini pada satu arah untuk tiga hingga lima minit sebelum menukar kepada arah yang bertentangan untuk tiga hingga lima minit juga.

Jika latihan ini dilakukan secara berkala, latihan ini mampu untuk meningkatkan fleksibiliti mata di samping menguatkan otot di sekeliling mata. Secara langsung, latihan ini dapat membantu meningkatkan keupayaan penglihatan.

Teknik 4 : ‘Palming’- menekup mata

Teknik senaman mata ini dapat membantu mengurangkan stress/tekanan di sekeliling mata di samping merehatkan mata. Apabila kita menekup mata menggunakan tapak tangan, kita merangsang titik peka di sekeliling mata yang mampu menenangkan minda serta merehatkan otot-otot di sekeliling mata. Keadaan ini memberi satu kesan kuasa penyembuhan yang meredakan keletihan mata ( Marc Grossman).

Foto: Hello Dokter

Kaedah teknik menekup mata :

1. Pastikan anda duduk dengan selesa di hadapan meja dengan siku di atas meja ataupun siku direhatkan di atas lutut.

2. Letakkan tengah tapak tangan anda menutupi mata sepenuhnya, kedudukan semua jari di dahi dan pangkal tapak tangan di pipi. Pastikan mata anda dapat berkedip tanpa gangguan dan halangan di bawah telapak tangan serta tidak menekan mata dengan kuat.

3. Biarkan dalam keadaan begini untuk beberapa minit (3-5 minit).

Teknik menekup mata memberi peluang kepada anda untuk untuk merehatkan minda dan mata anda dalam beberapa minit. Walaupun teknik ini tidak menggambarkan sebarang ciri-ciri senaman mata namun teknik ini dapat memberikan kesan yang menakjubkan terutama setelah anda melakukan kerja jarak dekat yang banyak. Untuk itu setelah penat bekerja, cubalah lakukan teknik ini untuk beberapa ketika.

Lakaran kedudukan tapak tangan ketika melakukan teknik menekup mata.

Teknik 5 : ‘Zooming’

Teknik senaman mata ini sangat berkesan melatih keupayaan penumpuan mata. Apa yang perlu dilakukan semasa latihan adalah dengan mengubah kedudukan titik penumpuan yang kita gunakan iaitu jari kita. Dengan kaedah ini secara tidak langsung kita dapat menguatkan otot di sekeliling mata dan juga fleksibiliti pergerakan mata.

Foto: Harian Metro

Kaedah teknik ‘zooming’

1. Duduk dalam keadaan yang selesa.

2. Regangkan tangan anda sejauh yang boleh dengan tangan digenggam dan ibu jari diangkat seperti menunjukkan isyarat ‘bagus’.

3. Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibu jari anda sepanjang latihan ini dijalankan.

4. Kemudian, bawa ibu jari anda tadi secara perlahan-lahan menghampiri mata sehingga berada pada jarak 3 inci (6 cm) dari mata.

5. Tanpa mengubah pandangan mata anda dari ibu jari, perlahan-lahan gerakkan tangan anda menjauhi mata anda sejauh yang mungkin dan tangan anda boleh meregang.

6. Lakukan teknik senaman mata ini selama lima minit setiap kali untuk beberapa kali dalam sehari.

Kesimpulan

Dalam kajian yang dijalankan oleh Rathod Vandama J et.al, mereka telah menyimpulkan bahawa pelbagai teknik senaman mata adalah sangat berkesan dalam meningkatkan keupayaan penumpuan mata , namun tidak dapat dibuktikan bahawa senaman dapat meningkatkan keupayaan penglihatan seseorang itu.

Apa yang dapat disimpulkan adalah, senaman mata dapat membantu kita dalam beberapa perkara;

* Meningkatkan keupayaan mata untuk menumpu dengan lebih baik.

* Mengurangkan tegangan di sekeliling mata

* Mengurangkan sensitiviti mata terhadap matahari atau cahaya.

* Menguatkan otot-otot di sekeliling mata.

* Membantu penglihatan daripada segi koordinasi mata, menganggar kedudukan dan jarak objek serta pandangan sisi seseorang itu dan lain-lain, namun begitu, cara hidup seseorang itu juga banyak mempengaruhi keberkesanan senaman mata yang dijalankan.

Andainya anda tidak mengetahui cara penggunaan mata yang betul seperti penggunaan komputer yang lama pada satu-satu masa tanpa merehatkan mata, maka keberkesanan senaman mata juga akan berkurangan

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Wed, 18 Mar 2020

Perintah Kawalan Pergerakan mungkin dilanjutkan

Kerjasama setiap rakyat dapat kekang penularan COVID-19

Sihat Thu, 17 Oct 2019

Bahagian intim berbau? Awasi ‘tombong’ musuh wanita!

Jangan dibiar, anda mungkin kehilangan rahim.

Sihat Tue, 14 Aug 2018

Internet Untuk Remaja Malaysia Akan Dihadkan Dari Pukul 12 Ke 6 Pagi Setiap Hari?

Ini adalah untuk mencegah ketagihan terhadap kemudahan teknologi ini.

Featured Sun, 26 Aug 2018

4 Jenis Teh Yang Boleh Bunuh Lemak-Lemak Degil Dalam Badan

Lagi bagus anda minum teh ini tanpa gula!

Sihat Tue, 24 Jul 2018
Sihat Thu, 14 Jun 2018

Susah Nak Tidur Pada Waktu Malam? 5 Makanan Ini Boleh Bantu Pesakit Insomnia

Kalau tak dirawat, kualiti hidup pesakit insomnia akan terjejas!

Sihat Fri, 29 Mar 2019

These are the nutrient women need as they grow older

In their 20s, 30s, 40s, 50s and beyond.

Featured Thu, 23 Apr 2020
Featured Fri, 28 Jun 2019
Sihat Tue, 30 Apr 2019

| Live TV