Kayap atau dalam istilah perubatannya herpes zoster merupakan penyakit kulit dan saraf yang berpunca daripada jangkitan virus varicella zoster. Penyakit kayap lazimnya melibatkan dua bahagian iaitu dada dan muka.
Menurut portal kesihatan MyHealth, antara simptom awal penyakit kayap ialah demam, keletihan, sakit kepala serta rasa sakit, kebas dan panas pada bahagian urat saraf yang terlibat.
Laman web rasmi KPJ Ampang Puteri pula melaporkan bintik merah kemudian akan muncul dan mula berubah menjadi gelembung kecil berisi cecair di atas permukaan kulit yang kemerahan. Gelembung-gelembung itu akan menjadi kering beberapa hari kemudian dan ditutupi dengan selaput kering berwarna hitam.
Tidak dinafikan suatu ketika dulu, penyakit ini amat digeruni masyarakat Melayu kerana wujud kepercayaan kononnya kayap boleh menyebabkan kematian jika ruam kayap meliliti sekeliling tubuh atau bertemu pada bahagian tengah badan.
Kepercayaan itu tidak lagi boleh diguna pakai pada zaman moden hari ini, kerana hasil kajian perubatan mendapati penyakit kayap boleh sembuh sepenuhnya dan proses penyembuhan akan menjadi lebih cepat jika anda mendapat rawatan awal yang betul.
Antara rawatan yang biasa digunakan adalah menggunakan ubat tahan sakit, krim sapu, ubat antivirus seperti acyclovir, valacyclovir dan famciclovir, serta antibiotik untuk merawat sebarang jangkitan bakteria yang terkena di sekitar kawasan luka kayap.
Selain rawatan moden, kaedah rawatan semula jadi juga turut diamalkan untuk membantu mengurangkan penyakit kayap. Berikut merupakan antara petua alami untuk merawat dan menghilangkan kayap yang dikongsi oleh laman web Semuanya JDT.
1. Daun delima + bedak sejuk (Kayap setompok)
Daun delima ditumbuk lumat dan dicampur dengan bedak sejuk tanpa pewangi. Campuran itu kemudian diletakkan di atas kayap dan insya-Allah, kayap akan kering dalam masa tiga hari.
2. Daun cili + kapur makan
Tumbuk atau ramas daun lada serta campurkan dengan sedikit kapur makan. Sapukan pada bahagian yang terkena kayap sebanyak dua kali sehari. Insya-Allah, kayap akan pudar dan pulih dalam masa beberapa hari.
3. Garam bukit
Ambil sedikit garam bukit dan campurkan dengan sedikit air. Biar garam bukitseparuh larut dan sapukan pada kawasan kayap. Amalkan dua kali sehari pada sebelah pagi dan malam.
Anda juga boleh mengambil 4 cubit garam bukit dan masukkan dalam segelas air. Kacau sehingga larut sambil berselawat dan kemudian minum.
4. Daun pokok duit-duit
Tumbuk hancur daun pokok duit-duit. Kemudian ambil daun serta air perahannya dan tekap pada kayap. Biarkan dibengkung semalaman.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda.