Tidak dinafikan menjadi satu cabaran buat ibu bapa untuk melatih anak memberus gigi. Silap hari bulan, boleh jadi ‘singa’ dibuatnya kerana anak tidak mahu memberi kerjasama.
Ada yang terpaksa dipujuk, tidak kurang juga perlu dipaksa dengan ‘ugutan’ atau perlu meninggikan suara untuk mengatasi masalah ini.
Apa kata ibu bapa ikuti tip di bawah untuk menggalakkan anak-anak memberus gigi dan Insya-Allah selepas ini mereka akan ‘gerenti’ jatuh cinta serta lebih disiplin untuk menjaga kebersihan gigi mereka.
1. Berus gigi bersama anak-anak
Ibu bapa merupakan orang yang sentiasa menjadi contoh terbaik kepada anak-anak, maka segala tingkah laku ibu bapa akan cuba ditiru oleh mereka. Justeru, ambil peluang dengan memberus gigi bersama mereka. Duduk di hadapan mereka sambil memegang berus gigi dan tunjukkan kepada mereka betapa seronoknya aktiviti memberus gigi.
2. Jadikan memberus gigi aktiviti yang menyeronokkan
Anak-anak gemar aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain. Jadi, ibu bapa boleh meminta anak-anak memberus gigi patung mainan kegemaran mereka atau mungkin memberus gigi anda sendiri. Biarkan mereka bermain dengan berus gigi dan pada masa sama, terangkan kepada mereka tentang kepentingan memberus gigi.
3. Jadikan rutin harian
Ibu bapa perlu menjadikan aktiviti memberus gigi sesuatu yang ringkas dan mudah. Jika boleh, cari masa yang sesuai ketika mereka tidak terlalu letih. Ibu bapa juga harus memberi penekanan bahawa memberus gigi adalah rutin harian yang wajib agar anak dapat mengikuti waktu memberus gigi yang betul iaitu pada waktu pagi dan malam.
4. Berikan hiburan kepada anak-anak
Cara lain untuk menggalakkan anak-anak serta menjadikan memberus gigi sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan ialah dengan memainkan lagu atau muzik kegemaran anak-anak semasa mereka memberus gigi.
5. Lokasi yang menarik
Aktiviti memberus gigi tidak semestinya dilakukan di dalam bilik air sahaja. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja (dengan pengawasan ibu bapa) untuk menjadikan aktiviti ini sesuatu yang menyeronokkan. Contoh seperti di ruang tamu ketika anak sedang menonton kartun atau rancangan kegemaran mereka.
6. Pilihan berus gigi yang menarik
Variasi berus gigi kanak-kanak yang berada di pasaran sekarang sangat menarik antaranya berus gigi bermotif kartun serta pelbagai pilihan corak dan juga warna. Ia sedikit sebanyak membantu menarik minat anak-anak untuk memberus gigi. Beri anak-anak peluang untuk memilih sendiri berus gigi kegemaran mereka.
7. Pilihan ubat gigi kegemaran
Sama juga seperti berus gigi, berikan peluang untuk anak-anak memilih sendiri ubat gigi berperisa kegemaran mereka. Pastikan anda meletakkan ubat gigi bersaiz kacang pis di atas berus gigi terutama jika menggunakan ubat gigi berflourida atau jika anak-anak tidak pandai berkumur atau meludah dengan sempurna.
Apapun, ibu bapa harus bersabar dalam mendidik anak-anak dan sekali-sekala, beri mereka pujian sebagai tanda penghargaan apabila mereka memberus gigi.
Sumber: MyHealth