Categories: Kes MahkamahTrending

Atas Dakwaan Berkhalwat, Buruh Binaan Jadi Pesalah Pertama Di Terengganu Kena Hukuman Sebat

Pesalah khalwat yang merupakan seorang buruh binaan menjadi pesalah pertama di Terengganu dikenakan hukuman empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 juga dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Hamidi Shafie selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2002 kerana berkhalwat.

Lagi, hukuman sebat pula dikenakan ekoran ia merupakan kesalahan kedua tertuduh dan bakal berlangsung di penjara selepas tamat tempoh rayuan.

Tertuduh juga telah dihantar ke penjara kerana gagal menjelaskan denda.

Perbicaraan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

Terdahulu, tertuduh pernah didenda sebanyak RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah bagi dakwaan khalwat pada 11 Julai 2023.

Mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat untuk kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang mula berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Affendi dituduh melakukan khalwat bersama seorang wanita berumur lingkungan 30-an di sebuah premis kosong di Kemaman pada 25 Januari lalu di antara jam 1.10 pagi hingga 2.15 pagi.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari