Categories: Trending

Covid-19 : Akhirnya! Rakyat Malaysia Yang Terkandas Di Itali Dan Iran Dibawa Pulang Ahad Ini

Alhamdulillah, akhirnya rakyat Malaysia yang berada di Itali dan Iran akan dibawa pulang.

Dilaporkan tiada rakyat kita di Itali mahupun Iran yang dijangkiti Covid-19 dan kesemua mereka akan dibawa pulang bermula 21 dan 22 Mac ini.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino 92 dari 323 rakyat Malaysia yang mendaftar di Kedutaan Malaysia di Itali bersetuju untuk pulang ke Malaysia.

Tambahnya lagi, kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk tidak pulang kerana sudah berkahwin dan bermastautin di negara berkenaan.

Sumber : Google

“Kebanyakan rakyat Malaysia yang bermastautin di Itali adalah mereka yang berkahwin dengan rakyat Itali dan bekerja di Itali sejak 20 ke 30 tahun.

“Jadi mereka sudah menjadi penduduk tetap dan mempunyai tanggungan serta keluarga yang boleh membantu mereka di sini,” Katanya.

Pihaknya juga kini berada di peringkat akhir proses membawa pulang rakyat Malaysia dan kesemuanya dijadualkan menaiki penerbangan pada Ahad ini.

“Ketika ini, kita sedang melakukan proses mengenal pasti waktu yang sesuai. Kita masih dalam perbincangan untuk memilih jenis penerbangan kerana kebanyakan penerbangan komersil di Itali dihentikan.

“Kita membuat penilaian itu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Wisma Putra, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pasukan menangani Covid-19 di Malaysia yang berusaha gigih memastikan semua rakyat Malaysia dapat dibawa pulang dengan selamat,”

Ketika ditanya berhubung keadaan Itali yang sedang menjalani perintah berkurung ketika ini, Abdul Malik bagaimanapun menyifatkan keadaan lebih terkawal dan mampu mengekang penularan Covid-19.

Malah, apa yang dilakukan kerajaan Malaysia sekarang adalah langkah terbaik untuk mengekang penularan virus ini daripada merebak seperti yang berlaku di Itali.

Sumber : Google

“Sebelum ini di Itali, mereka sangat mementingkan kehidupan sosial iaitu berjumpa orang ramai dan pertemuan dengan keluarga.

“Tetapi sebaik ‘lockdown’ dilakukan, mereka mematuhi arahan terutama warga emas yang banyak menghuni bandar besar di Itali yang lebih berisiko dijangkiti.

“Saya juga berharap rakyat Malaysia dapat mencontohi mereka di sini dan mematuhi arahan kerajaan supaya kekal berada di rumah,” Jelasnya.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Iran Datuk Rustam Yahaya berkata, seramai 48 rakyat Malaysia akan dibawa pulang dengan penerbangan AirAsia, Sabtu ini.

Dan rata-rata mereka akan menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum menaiki penerbangan pulang bagi memastikan semua berada dalam keadaan sihat.

Sumber : Google

“Ada antara mereka sudah menumpang di rumah kakitangan kedutaan di Tehran manakala kumpulan terakhir akan tinggal di rumah saya selepas ini.

“Mereka akan dikumpulkan pada Khamis ini untuk diberi penerangan dan menjalani saringan. Mereka akan dimaklumkan mengenai proses bawa pulang dan perintah kuarantin yang akan dilalui sebaik tiba di Malaysia,” katanya.

Katanya, kerajaan Iran juga memberikan kerjasama baik dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia termasuk menyediakan laluan khas di lapangan terbang.

Untuk maklumat lanjut menegani Covid-19 ini, anda boleh saksikan Buletin Utama di TV3 pada jam 8 malam.

Salma Syahbuddin