Categories: Trending

Curi Petai Punya Pasal, Lelaki Patah Tulang Rusuk

Dek kerana leka mencuri petai di sebuah kebun, seorang lelaki dibelasah dan patah tulang rusuk.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di kebun milik salah seorang penduduk di Kampung Bukit Terap, Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, tindakan suspek, 30-an, yang menceroboh kawasan kebun bersama seorang lagi rakannya disedari dua cucu kepada pemilik kebun yang baru tiba di lokasi.

Difahamkan, dua cucu lelaki pergi ke kebun datuk mereka untuk ‘spot check’ kawasan persekitaran kerana difahamkan kerap berlaku kecurian petai sebelum ini.

“Setibanya di lokasi, mereka terserempak dengan dua lelaki dikenali sedang ralit memegang petai di dalam kawasan kebun.

“Sejurus ternampak kelibat dua beradik itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dan salah seorang suspek berjaya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sumber berkata, susulan kejadian, suspek mengalami kecederaan patah tulang rusuk terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, bagi mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian daripada salah seorang cucu pemilik kebun terbabit.

Menurutnya, kejadian yang membabitkan nilai kerugian hampir RM100 itu kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Sekarang usaha memburu seorang lagi suspek sedang dijalankan,” katanya.

SGMS Faida