Categories: KonsertTrending

Gandingan Legenda! M Nasir, Hattan Berkongsi Pentas Dalam Konsert Sifu Dan Aku

Dua legenda muzik Nusantara, Datuk M Nasir dan Datuk Hattan bakal bergabung di pentas sama sekaligus menggegarkan Sabah dalam Konsert Sifu Dan Aku bertempat di Sabah International Conventional Center (SICC) pada 3 Februari 2024.

Konsert ini merupakan gandingan pertama antara guru dan murid yang sudah berjaya dalam bidang nyanyian selama lebih 38 tahun.

M Nasir yang dikenali sebagai Sifu ialah seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit yang telah menghasilkan karya-karya yang ikonik dalam dunia muzik Nusantara.

Manakala, Hattan pula dikenali sebagai muridnya merupakan seorang penyanyi yang banyak merakamkan lagu-lagu yang menjadi kegemaran ramai sehingga hari ini.

Malah, Konsert Sifu Dan Aku ini dianggap sebagai satu cabaran buat M Nasir dan keunikan konsert ini adalah gandingan mereka berdua.

“Saya anggap persembahan ini satu cabaran memandangkan hubungan saya dan Hattan sudah lama. Dia menyerlah bakatnya selepas menyanyikan lagu-lagu saya dan kiranya menjadi anak buah saya dalam penerbitan dunia rakaman.

“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami berada di satu pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasi kami. Saya pasti peminat di Sabah menantikan konsert ini,” katanya.

Tambah Hattan, konsert ini adalah penceritaan daripada awal karier hingga hari konsert nanti.

“Daripada mula saya berguru dengan M Nasir, belajar terbit lagu, menyanyi dan semua dari zaman dulu. Kiranya, konsert ini adalah klimaks pada perguruan saya bersama beliau.

“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu memori indah untuk karier seni saya kerana kita satu pentas bersama di dalam satu konsert yang ditujukan khas Sifu Dan Aku. Jadi, pada malam itu kami menyanyikan semua lagu hit.

“Memang ini bakal menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. Rugi kalau orang tak datang kerana penceritan itu saya dan M Nasir. Bagaimana saya mengenali beliau hingga saat ini. Malah, saya juga ada pernah menerbitkan satu album Palestin untuk Palestin yang diterbitkan pleh beliau,” katanya.

Kedua-dua seniman ini bakal menyajikan persembahan yang menyentuh jiwa dengan lagu-lagu yang memiliki sejarah dan maksud tersendiri.

Konsert ini juga memaparkan sisi harmonis dan hubungan erat antara seorang guru dan murid yang saling menghargai dan menghormati satu sama lain.

Bukan itu sahaja, Konsert Sifu Dan Aku ini merupakan satu penghargaan buat peminat di Sabah yang jarang berpeluang untuk menyaksikan persembahan dua legenda ini secara langsung.

Konsert Sifu Dan Aku dibawakan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group.

Untuk info, Borneo Excursions merupakan agensi pelancongan rasmi untuk Konsert Sifu Dan Aku yang menawarkan tiket konsert, pakej pelancongan, pengangkutan dan hotel dengan harga yang menarik.

Oleh itu, tiket konsert boleh didapati di https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/ bermula harga RM188 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM488 (tempat duduk bebas), dan RM988 (VIP- tempat duduk bernombor).

Atiqah Johari