Categories: Ijab & KabulTrending

Genius Matematik Adi Putra Kini Suami Siti Sarah, Hantaran Kahwin RM9,999.99 Ada Simbolik Istimewa

Dengan sekali lafaz, genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani telah selamat bernikah dengan wanita pilihannya iaitu Siti Sarah Zulkarnain pada Khamis.

Berita perkahwinannya itu dikongsikan oleh bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahid menerusi beberapa hantarannya di Facebook semalam.

“Sahlah Adi Putra sebagai Raja Sehari di Lundang, Kota Bharu, Kelantan. Berkat doa dari tuan, puan, sahabat serta muridnya… dengan lafaz nikah sekali sahaja dan kenduri kahwin berjalan lancar.

“Alhamdulillah cuaca pun baik di Kota Bharu hari ini, aamin,” tulisnya.

Adi Putra, 24, memberikan wang hantaran sebanyak RM9,999,99 kepada Siti Sarah, 27.

Oleh itu, bapa Adi turut menjelaskan mengenai jumlah hantaran tersebut apabila ada warganet yang mempersoalkan mengapa tidak menggenapkan sahaja menjadi RM10,000.

“Hadiah daripada Adi tentang nombor sembilan (Adimatik). Ilmu yang turun kepada Adi dari Allah seusia empat tahun ialah nombor sembilan.

“Kalau 123456789 x 9 = 1111111101. 987654321 x 9 = 8888888809 dan yang paling Adi suka adalah 98765432 x 9 = 888888888,” tulis Abdul Ghani.

Malah, Abdul Ghani juga berkongsi bahawa nombor kad pengenalan Adi juga bermula dan berakhir dengan angka 99.

“IC Adi bermula 99 & berakhir 99. Sejak Adi kecil Alhamdulillah Adi boleh congak di kepala 9^12 = 9 kuasa 12 = 9x9x9x9x9x9x9x9x9x9x9x9 = 282429536481.

“Yang paling hebat dan dikagumi ialah Asma’ul Husna 99. Maka Adi tetapkan hantaran perkahwinan Adi RM9,999.99,” jelasnya.

Sebelum ini, Adi dan Siti Sarah telah mengikat tali pertunangan pada 19 Julai lalu.

Untuk makluman, Adi Putra pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik, khususnya dalam pengetahuan algebra, trigonometri dan darab (antara lima hingga enam digit).

Tambah, pada usia enam tahun, Adi mendapat tawaran bagi melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaiti Universiti Oxford di United Kingdom (UK) dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS).

Adi Putra turut menubuhkan syarikat sendiri yang dikenali dengan nama Adimatik Genius Solutions bagi membantu masyarakat menguasai ilmu Matematik.

Atiqah Johari