Categories: FeaturedTrending

Ibu paksa ustazah merangkak di depan murid diserang Bawang Rangers

Seorang ibu yang menyiarkan video beliau memaksa guru agama di sekolah anaknya belajar untuk merangkak mengelilingi kelas diserang warganet sehingga memaksa pemilik akaun Facebook yang dikatakan ibu terbabit menutup akaunnya.

Wanita berkenaan dikatakan bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan tindakan ustazah terbabit mendenda anaknya merangkak sekeliling kelas. Dalam video berdurasi 2 minit 17 saat itu ibu berkenaan mendakwa tindakan guru berkenaan menyebabkan kecederaan pada lutut anaknya.

Serangan warganet yang menggelar mereka sebagai Bawang Rangers menyebabkan bukan sahaja menyebabkan pemilik akaun Ajakati Ajakatin yang menyiarkan video terbabit menutup akaun Facebooknya, malah suami kepada pemilik akaun berkenaan juga menutup akaunnya berikutan turut diserang warganet yang tidak bersetuju dengan penyiaran video itu.

Video berkenaan yang tular semalam mengundang amarah warganet kerana dianggap perbuatan berkenaan biadap terhadap seorang guru, malah kebanyakan guru yang juga pengguna media sosial Facebook berang dengan tindakan wanita terbabit. Video berkenaan bukan sahaja tular dalam media sosial, malah ramai berkongsi dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dan Telegram yang ternyata tidak berpuas hati dengan tindakan ibu terbabit.

Akaun Facebook Kami Guru Malaysia turut membincangkan isu berkenaan yang dianggap tidak wajar apabila ibu bapa sewenang-wenangnya masuk ke dalam perkarangan sekolah dan merakam tindakan terbabit.

Beberapa guru yang mengakui terguris dengan tindakan ibu berkenaan meminta supaya beliau dikenakan tindakan undang-undang kerana memalukan ustazah itu bukan sahaja di depan murid, tetapi juga dalam media sosial.

Begitu pun, ada juga warganet yang memuji tindakan beberapa murid yang turut merangkak mengikuti ustazah berkenaan sebagai tanda hormat terhadap guru mereka.

Meskipun kes berkenaan dianggap selesai apabila pihak sekolah mengadakan perbincangan dan mempertemukan ustazah dengan ibu murid terbabit, kebanyakan warganet nyata tidak berpuas hati dan ingin ibu terbabit dibawa ke mahkamah.

Penularan video berkenaan juga menarik perhatian peguam, Nurhidayaty Maidin yang meminta supaya ustazah itu menghubunginya bagi membantu beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu itu.

“Saya tidak kisah sekiranya posting saya yang ini tidak tular seperti semalam. Posting saya berkenaan ustazah merangkak semalam pun tidak berniat untuk ditularkan.

“Saya terkesan dan menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kerana ikhlas ingin membantu. Saya bukan ahli politik yang perlu ‘dihighlight’ dalan socmed untuk stay relevan,” katanya. 

Dalam hantaran berkenaan, Nurhidayaty yang juga peguam bela dan peguam cara, mencadangkan supaya warganet membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memastikan ibu berkenaan diheret ke muka keadilan.

“Apa yang masyarakat atau netizen boleh lakukan terhadap pelaku yang merekod guru tersebut merangkak? Buat aduan kepada SKMM di sini:https://aduan.skmm.gov.my/.

“Kes ini telah jadi public interest dan denda akan dikenakan kepada pelaku. Oleh itu tunggu apa lagi. Buatlah aduan dengan cara yang betul,” katanya.

Fadzlena Jafar