11 Pelajar Upsi Cedera, Bas Terbabas Ke Dalam Gaung

Satu kemalangan bas yang melibatkan kira-kira 60 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyebabkan 11 orang cedera di Jalan Slim Lama dekat Kota Malim Prima, pada petang Rabu.

Bas yang dinaiki penuntut UPSI itu terbabas ke cerun bukit semasa dalam perjalanan menghantar pelajar untuk pulang ke asrama sekitar jam 7 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir memberitahu seramai 11 orang tercedera dan telah dikejarkan ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kemalangan melibatkan bas terbabas dengan sendiri selepas Simpang Kota Malim Prima.

“Siasatan awal mendapati 11 orang cedera ringan melibatkan penumpang dan juga pemandu bas  dan telah dikejarkan ke Hospital Slim River untuk diberikan rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Tambahnya lagi, dia memberitahu punca berlakunya kemalangan masih dalam siasatan dan laporan penuh akan menyusul secepat yang mungkin.

Susulan daripada kejadian itu, pihak balai bomba dan penyelamat Tanjung Malim telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi tujuan kerja-kerja menyelamat.

Sumber: mStar

Halimey Zamal