Album Dayang Nurfaizah ‘Belagu II’ Bakal Dilancarkan 27 Januari

Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah sudah bersedia untuk melancarkan album studio ke-10 iaitu Belagu II.

Merupakan album sekuel kepada album Belagu yang dilancarkan pada tahun 2021 yang mana album tersebut menerima pelbagai reaksi positif malah diangkat sebagai penerima bagi beberapa kategori di Anugerah Industri Muzik tahun lalu.

Perkataan ‘Belagu’ membawa maksud menyanyi, diambil dari dialek Melayu Sarawak merupakan sebuah album yang dibarisi lagu-lagu klasik Melayu malar segar yang disusun semula muziknya.

“Belagu II adalah kesinambungan dari album Belagu yang dilancarkan awal tahun 2021 yang lalu.

“Tujuannya sama, bagi album kedua ini, Dayang mahu meraikan lebih banyak lagu memandangkan kesemuanya sangat indah dan boleh dipertontonkan.

“Kini, dengan Budapest Scoring Orchestra, kami berharap ia dapat menjangkau lebih ramai pencinta muzik antarabangsa” kata penyanyi yang berasal dari Sarawak ini.

Berdasarkan kejayaan Belagu, Dayang berharap ia dapat terus menarik minat semua penggemar menerusi satu produksi muzik yang akan menyajikan satu pengalaman menikmati irama yang lebih mengasyikkan.

Belagu II dibarisi lapan lagu klasik Melayu yang disusun semula berserta satu lagu baharu dan kesemuanya diiringi muzik Budapest Scoring Orchestra bersama pemuzik handalan Malaysia.

Album ini juga sekali lagi disusun dan diterbitkan oleh penerbit yang tidak asing lagi, Aubrey Suwito.

Belagu II juga diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Menurut Dayang, dia menganggap album ini adalah sebagai satu cara untuknya memperkenalkan kembali lagu Melayu klasik kepada generasi muda dan dalam masa yang sama untuk semua yang mendengar menghayati kembali keindahan lagu-lagu klasik ini.

“Dayang berharap agar semua peminat Dayang akan menghargai album ini dan menerima mesej yang mahu Dayang sampaikan.

“Dayang mahu semua pendengar khususnya generasi muda
mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.

“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Dayang anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni.

“Dayang berharap Belagu II akan terus mengingatkan kita semua untuk meraikan lagu-lagu klasik melayu warisan kita demi generasi masa hari ini dan akan datang,” akhirinya.

Album ‘Belagu II’ ini akan dilancarkan di semua platform digital bermula 27 Januari 2023 dan peminat sudah boleh membuat pra-tempahan/pra-simpanan/pra-tambah album ini sekarang!

Dharnieya Nur Amelsa