“Bercakap Ikut Sedap Mulut, Yang Penting Orang Gelak Berdekah” – Netizen Kurang Senang Ustaz Bagi Ceramah Unsur Lucah

Sejak akhir-akhir ini, golongan agamawan dan asatizah sering mendapat perhatian warganet apabila terdapat isu-isu panas yang membabitkan beberapa pendakwah bebas yang dikatakan berkelakuan tidak bermoral.

Agak menyedihkan apabila golongan yang sepatutnya dijadikan sebagai sumber rujukan dan juga contoh teladan ini mencemarkan kesucian agama Islam.

Terbaharu, tular satu perkongsian di Facebook dimana seorang individu mengulas sebuah video yang tular membabitkan seorang pendakwah yang dikatakan sering membuat lawak lucah dalam ceramahnya.

“Usah normalisasi lawak lucah dan double-meaning.

“Saya ada terlihat video ini berlegar, “ustaz” berkenaan cakap, “kalau bawa motor besar kena bawa laju, kalau bawa slow nanti dia akan jadi panas menyebabkan telur masak.”

“Bagi saya, inilah kebejatan akhlak dan korupsi yang parah dilakukan segelintir mereka yang beperwatakan lebai. Bercakap ikut sedap mulut, yang penting orang gelak berdekah-dekah,” tulisnya.

Baginya ia satu tindakan yang tidak wajar bagi seseorang pendakwah tidak menjaga pertuturannya yang gemar membuat lawak lucah serta ‘double meaning’ yang semakin dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

“Moga kita semua terhindar daripada sikap buruk dan tidak mengangkat orang sebegini menjadi teladan masyarakat,” ujarnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen perkongsian tersebut, rata-rata warganet meluahkan rasa kurang senang dengan ceramah pendakwah tersebut yang menyelitkan unsur-unsur lucah dan ‘double meaning’.

Sumber: Facebook Furqan Abdullah

Khairil Khusyairi