‘Hot Daddy’ Didakwa Lagi, Kali Ini Atas Tuduhan Jual Video Luc*h

Seorang ‘gigolo’ tempatan atau dikenali sebagai ‘hot daddy’ dan dua kekasihnya sekali lagi dihadapkan di mahkamah Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32; Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemuka terhadap mereka di hadapan Majistret, Nurul Izzah Shaharuddin.

Pada masa sama, Hasli Ikhwan dan Norhidayah membuat pengakuan itu kerana kesalahan memiliki bahan lucah di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hasniah Ab Razak.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Majistret, ketiga-tiga mereka didapati menjual rakaman video lucah di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) di Wangsa Maju, antara jam 11.47 dan 11.54 malam, pada 15 Januari lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 5 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Sheryn Yong Shi Yee, manakala tertuduh terbabit diwakili peguam, Mohd Faris Abrar Othman, Mohammed Hissham Ramdzan dan Nurul Aeir S Muhammad Harvian Kamar.

Majistret membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tiga tertuduh itu, manakala Hasli Ikhwan dan Norhidayah masing-masing diikat jamin RM5,000 oleh Nor Hasniah.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Januari lalu, Hasli Ikhwan, Norhidayah dan Norshazrina mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali, atas tuduhan mempromosi aktiviti seks untuk keuntungan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun, sebatan dan denda jika disabit kesalahan.

Ketiga-tiga individu itu dilaporkan ditahan pada 17 Januari lalu, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Siasatan polis mendapati suspek menjual video berkenaan dalam aplikasi X dengan harga RM100 dan RM20 masing-masing bagi 200 serta 13 video sebulan.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi