Categories: Kisah ViralTrending

Jumlah Mangsa Gangguan Seksual Dalam Kalangan Lelaki Meningkat

Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) memaklumkan aduan berkenaan mangsa gangguan seksual melibatkan golongan lelaki semakin meningkat.

Memetik laporan BH Online, menurut Datuk Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pihak kementeriannya mendapat aduan sebanyak 1,486 kes aduan berkaitan gangguan seksual menerusi PSSS dalam tempoh 14 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual diadakan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 411 kes (27.7 peratus) melibatkan mangsa lelaki,” ujarnya.

Katanya lagi, pada 29 Oktober lalu, PSSS menerima 1,213 laporan daripada mangsa gangguan seksual sepanjang 12 siri Program Jerayawara sejak pelancaran Mei lalu dengan 351 orang atau 28.9 peratus merupakan golongan lelaki.

Selain itu, beliau turut menjawab soalan Senator Datuk Husain Awang berkenaan sejauh mana keberkesanan Program Jerayawara mampu mengelakkan gangguan seksual di rumah dan tempat kerja dengan menyatakan maklum balas 97.6 peratus peserta program itu menunjukkan peningkatan terhadap tahap kesedaran dan pemahaman berkaitan gangguan seksual.

“Bagi memastikan gangguan seksual difahami dan meningkatkan kesedaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melaksanakan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di 14 negeri melibatkan 19, 423 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” tuturnya.

Beliau berkata pelbagai program advokasi dianjurkan bersama pihak swasta dan badan NGO bagi mencegah dan meningkatkan kesedaran gangguan seksual di premis masing-masing.

“Sebanyak 54 program advokasi telah dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) membabitkan 9,354 peserta.

“Selain itu, promosi serta hebahan juga diperluas melalui media sosial dan media massa membabitkan seramai 3.5 juta pendengar, penonton dan pembaca,” katanya lagi.

Sumber: BH Online

Kredit Foto: Kosmo Online

Atiqah Johari