Kejamnya! Bayi 40 Hari Dihempas Ke Lantai & Kakak Mangsa Dicampak Dari Tingkat 1 Oleh Bapa Saudara

Seorang bayi berusia 40 hari mengalami pendarahan di bahagian kepala akibat dihempas ke lantai oleh bapa saudaranya.

Manakala, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipercayai kakak kepada bayi berkenaan turut mengalami kecederaan parah dimulut dan kaki akibat dicampak dari tingkat satu sebuah pangsapuri di Sungai Pinang, Georgetown pada petang Khamis.

Difahamkan, suspek yang berusia 29 tahun itu mempunyai masalah kesihatan sejak dua bulan lalu turut mengelar bahagian tangan kanannya sebelum mencederakan mangsa.

Memetik laporan Harian Metro, ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Taiyoob, 31, mendengar jeritan ibu kanak-kanak terbabit meminta tolong sebelum mendapati adik lelakinya berada dalam keadaan berbogel serta berlumuran darah.

“Ahli keluarga yang lain menyelamatkan kedua-dua anak kakak saya itu sebelum menghantar mereka ke hospital.

“Adik saya (suspek) turut mendakwa terdengar ‘bunyi bisikan’ sebelum mencederakan kedua-dua anak saudara,” katanya.

Foto diambil daripda rakaman tular di media sosial.

Bagaimanapun,  Taiyoob memohon orang ramai supaya tidak menularkan kejadian itu bagi menjaga privasi keluarga.

“Suspek adalah adik saya sendiri dan dia menerima rawatan tradisional kerana mempunyai masalah kesihatan sejak dua bulan lalu.

“Diharap, semua pihak faham keadaan dan hormati pendirian keluarga bagi tidak mengulas lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin