Pencinta Kucing, Adibah Noor Pelihara 41 Ekor! – “Tidak Pernah Berkira Jumlah Wang Untuk Kegunaan Mereka”

Sesiapa yang mengikuti perkembangan Allahyarham Adibah Noor, pasti mengetahui sikap sayang dan cintanya terhadap kucing.

Bahkan, penyanyi itu juga mempunyai lebih 40 ekor kucing peliharaan dengan pelbagai baka, termasuklah kucing jalanan yang dibela di rumahnya.

Allahyarham juga pernah berkongsi berita duka mengenai kematian kucing kesayangannya, Bobby, yang menjadi peneman setianya hampir 15 tahun, pada tahun lalu.

Kini, tuan empunya badan pula menyusul bertemu Pencipta selepas menghidap penyakit kanser ovari tahap empat.

Memetik laporan Harian Metro, Adibah juga pernah menyatakan dia tidak kisah berhabis duit berbelanja untuk kegunaan kucing-kucing peliharaannya.

“Bukan mudah untuk menjaga 41 ekor kucing kerana saya membeli makanan yang berkhasiat untuk mereka. Tanggungjawab yang dipikul tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia ibarat menganiaya sekiranya tidak dibuat dengan baik.

“Sejujurnya saya kurang pasti berapa banyak saya berhabis bagi membayar makanan, kos bulanan dan perubatan untuk kucing-kucing yang dibela. Apa yang pasti, saya tidak pernah berkira jumlah wang untuk kegunaan mereka,” katanya.

Selain Bobby, Allahyarham turut memiliki beberapa kucing peliharaan lain yang diberi nama Along, Marco dan Billy.

Selain itu, rata-rata pengikutnya di Twitter turut tersentuh dengan ciapan terakhir penyanyi itu sekali gus menyifatkan penyanyi itu berhati mulia.

Sebelum ini, Allahyarham juga sempat membuat ciapan terakhirnya dengan meminta maaf kerana tidak dapat membantu kucing-kucing yang ditularkan melalui Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf, Kali Ini Aku Tak Dapat Tolong…” – Beberapa Tweet Terakhir Seakan Memberi Petanda, Netizen Tangisi Pemergian Adibah Noor

“Semoga asbab kak Dibah kasih dengan kucing moga Allah tempatkan dalam syurga,” komen seorang pengguna Twitter

“Fakta yang dia masih retweets mengenai kucing,” tulis seorang wargamaya

“Retweet terakhir Adibah Noor fasal bantuan kucing. Al-fatihah,” kata seorang pengikutnya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain