“Saya Tiada Kuasa Untuk Campur Tangan Urusan Mahkamah..” – Sekadar Bergambar, Zahid Hamidi Nafi Dakwaan ‘Lindungi’ Siti Bainun

Baru-baru ini sebuah foto yang melibatkan keluarga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali tular di serata media sosial sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan dan spekulasi.

Disebabkan foto mereka yang tampak akrab itu, segelintir netizen mendakwa Zahid Hamidi cuba untuk melindungi Siti Bainun dengan bantu mengupah 10 peguam bela dalam kes penderaan melibatkan remaja sindrom down bernama Bella.

Menerusi sebuah perkongsian yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi miliknya, Zahid Hamidi meluahkan rasa kesal atas dakwaan tersebut dan turut menafikan ‘berkomplot’ dengan Siti Bainun.

Malah, menjawab soal foto yang tulat itu, beliau berkata tuduhan tersebut dianggap tidak berasas kerana sebagai seorang pemimpin beliau tidak menolak permintaan orang ramai untuk bergambar.

“Sebagai insan seperti anda semua tentunya saya juga mengharapkan keadilan buat Bella dapat ditegakkan.

“Terlalu banyak insiden menyayat hati dilaporkan dalam kes tersebut dan pastinya semua mahukan kebenaran.

“Tetapi saya berasa kesal apabila diberitahu tiba-tiba ada pihak cuba mengaitkan saya dengan kes tersebut.

“Menuduh saya cuba melindungi tertuduh dengan mengaitkan tertuduh memiliki 10 peguam bela kerana saya.

“Maka terpaksalah saya akui saya pernah membantu ramai individu sepanjang penglibatan dalam politik.

“Termasuk mereka yang meminta bantuan dan sumbangan kewangan untuk tujuan kebajikan.

“Namun saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah.

“Hanya dengan mengaitkan gambar saya dengan tertuduh juga tidak berasas, sebagai seorang pemimpin mana mungkin menolak permintaan sesiapa sahaja untuk bergambar,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau menegaskan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempengaruhi mahkamah.

“Biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama.

“Dakwaan saya cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal.

“Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian.

“Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan,” tambahnya lagi.

Aqilah Paharuzi